Airbnb sasar penilaian AS$34.8 bilion - Utusan Malaysia

Airbnb sasar penilaian AS$34.8 bilion

Pembukaan semula sempadan telah meningkatkan kembali sektor pelancongan global sekali gus membantu memulihkan prestasi syarikat Airbnb dan rangkaiannya di seluruh dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Airbnb Inc. (Airbnb) menyasarkan penilai­an sehingga AS$34.8 bilion (RM141.72 bilion) dalam tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka membantu proses pemulihan syarikat itu selepas terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Syarikat itu dalam maklumannya memberitahu, sasaran harga sahamnya antara AS$44 (RM179.19) dan AS$50 (RM203.63) dan mereka menyasarkan untuk menjual 51.9 juta saham bagi mendapatkan AS$2.6 bilion (RM10.59 bilion).

Pengasas Airbnb, Brian Chesky, Joe Gebbia dan Nathan Blecharczyk juga akan bersama-sama menjual saham de­ngan nilai hampir AS$100 juta (RM407.25 juta) dalam pelancaran IPO itu nanti.

Airbnb bergelut menghadapi pandemik Covid-19 apabila sektor pelancongan hampir terhenti. Syarikat itu terpaksa menamatkan perkhidmatan kira-kira satu perempat daripada tenaga kerjanya dan meminta dana kecemasan seba­nyak AS$2 bilion (RM8.14 bilion) daripada pelabur, termasuk firma ekuiti persendirian Silver Lake dan Sixth Street Partners.

Namun, setelah sekatan pergerakan dilonggarkan, lebih ramai pelancong menempah rumah sewaan berbanding hotel dan membantu Airbnb mendapatkan keuntungan mengejut pada suku ketiga.

Pakar strategi kanan firma penyelidikan IPO Renaissance Capital, Matthew Kennedy berkata, IPO Airbnb berpotensi besar untuk menarik pelabur.

“Prestasi suku ketiga Airbnb menunjukkan mereka telah bangkit dan mendahului pesaingnya yang lain dalam sektor pelancongan,” katanya.

Pada nilai tertinggi dalam julat sasaran Airbnb, IPO tersebut akan memberinya penilaian tercair habis yang melibatkan sekuriti seperti unit saham larangan dan opsyen sebanyak AS$34.8 bilion (RM141.72 bilion).

Ia dua kali ganda lebih tinggi berbanding nilai Airbnb ketika pusingan pendanaan swasta pada April sebanyak AS$18 bi­lion (RM73.3 bilion).

Permodalan pasaran Airbnb pada AS$50 (RM203.63) sesaham akan meraih AS$29.8 bilion (RM121.36 bilion).

Pegangan Chesky akan dinilai pada kira-kira AS$3.8 bilion (RM15.48 bilion), sementara pegangan Gebbia dan Blecharczyk akan dinilai pada AS$3.5 bilion (RM14.25 bilion) kedua-duanya. Sequoia Capital yang mula-mula melabur dalam Airbnb pada 2009 akan memegang lebih AS$4 bilion (RM16.29 bilion) saham.

Airbnb mengumumkan pendaftaran IPOnya awal bulan ini dan merancang disenarai di Nasdaq pada 10 Disember ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya