- Utusan Malaysia
Malaysia terus merekodkan lebihan dagangan yang kukuh hasil peningkatan berterusan eksport. – UTUSAN/ SYARAFIQ ABD SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebihan daga­ngan Malaysia kekal kukuh pada November, berjumlah RM16.8 bilion meningkat 151.6 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah eksport negara pada November berjumlah RM84.4 bilion meningkat 4.3 peratus dari tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan eksport didorong oleh eksport semula yang meningkat 18.1 peratus berbanding tahun lepas.

“Nilai eksport semula berjumlah RM15.4 bilion, mewakili 18.2 peratus kepada jumlah eksport. Selain itu nilai eksport domestik RM69.1 bilion, mening­kat 1.7 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd. Uzir berkata, bagi tempoh berkenaan, import negara mencatatkan penurunan sembilan peratus. Ia adalah penurunan bulan kesembilan berturut-turut sejak Mac lalu.

Sementara itu, jumlah daga­ngan negara pada November 2020 bernilai RM152 bilion, susut dua peratus daripada RM155.2 tempoh sama 2019.

Peningkatan eksport disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat sebanyak RM1.9 bilion, manakala eksport ke China menokok RM1.7 bilion, Hong Kong (RM1.3 bilion), Singapura (RM1.8 bilion) dan Kesatuan Eropah (RM457.4 juta).

Sementara penurunan import pula katanya, membabitkan Si­ngapura sebanyak RM2.2 bilion, Kesatuan Eropah (RM1.1 bilion), Emiriah Arab Bersatu (RM846.3 juta), China (RM738.7 Juta) dan Amerika Syarikat (RM705.2 juta).

“Produk utama yang me­nyum­bang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elek­tronik (RM6.5 bi­lion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (RM433.6 juta) dan keluaran getah (RM2.9 bilion).

“Penurunan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (RM4.1 bilion), kelengkapan pengangkutan (RM1.1 bilion), barangan perkilangan logam (RM629.7 juta), jentera kelengkapan dan peralatan (RM563.1 juta) dan petroleum mentah (RM499.8 juta),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya