TOKYO: Harga minyak naik untuk hari kelima berturut-turut semalam selepas kejatuhan mengejut stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS), menyambung kenaikan berterusan harga yang didorong laporan positif tentang vaksin Covid-19 sebelum ini.
Brent meningkat 45 sen (RM1.84) atau 0.9 peratus kepada AS$49.06 (RM200.36) setong selepas naik kira-kira 1.6 peratus pada sesi sebelumnya.
West Texas Intermediate (WTI) meningkat 34 sen (RM1.39) atau 0.7 peratus kepada AS$46.05 (RM188.07) setong selepas mencatat kenaikan 1.8 peratus kelmarin.
Kedua-dua penanda aras itu meningkat kira-kira sembilan peratus minggu ini, setelah AstraZeneca berkata, vaksinnya boleh mencecah 90 peratus keberkesanan pada Isnin, menambah ‘senjata’ untuk menamatkan pandemik paling buruk kurun ini.
Penemuan vaksin telah “menolak kebimbangan untuk mempertahankan langkah pembendungan dan menggalakkan pembelian berterusan daripada komuniti spekulatif”, menurut Citigroup Global Markets dalam satu nota kajian.
Stok minyak AS jatuh 754,000 tong minggu lalu menurut data pihak berkuasa, sementara penganalisis dalam tinjauan Reuters menjangkakan peningkatan 127,000 tong.
Stok simpanan di Cushing, Oklahoma, titik penghantaran untuk WTI, jatuh 1.7 juta tong.
Namun, permintaan untuk gasolin minggu lalu jatuh antara 128,000 hingga 8.13 juta tong sehari, terendah sejak Jun.
Presiden terpilih AS, Joe Biden menggesa orang ramai untuk mengelakkan perkumpulan keluarga secara besar-besaran, menggunakan pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal ketika cuti Thanksgiving bagi mengelak peningkatan kes Covid-19.
Namun, rakyat AS mengetepikan rayuan daripada pegawai kerajaan supaya kekal di rumah.
AS mencatatkan 2.3 juta kes jangkitan baharu dalam tempoh dua minggu ini. – AGENSI