PRA BELANJAWAN 2021
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2021 serta memastikan keperluan asas mereka terus dijaga.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, belanjawan kali ini sangat mencabar kerana pandemik Covid-19, namun kerajaan bertanggungjawab memastikan tiada rakyat yang hidup melarat.
“Pertama, kena pastikan rakyat mempunyai makanan yang cukup, ini asas. Kita kena ada keterjaminan makanan, tidak boleh ada mana-mana rakyat kita yang hidup melarat, tak makan.
“Menjadi tanggungjawab kepada semua 222 ahli Parlimen dan wakil rakyat di setiap negeri untuk memastikan tidak ada masyarakat kita yang hidup tidak cukup makan, makan sekali sehari, itu perlu dielakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, Jumaat ini.
Belanjawan tersebut dilaporkan lebih besar berbanding Belanjawan 2020 yang memperuntukkan RM297.02 bilion, merangkumi RM56 bilion perbelanjaan pembangunan dan RM241.02 bilion perbelanjaan mengurus.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan tidak akan mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang lazimnya meliputi kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan dan membayangkan belanjawan kali ini lebih dinamik serta berfokus untuk mencipta pekerjaan buat rakyat selain memulakan semula ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Johari turut berharap belanjawan kali ini dapat dirasai seluruh rakyat dan entiti yang berperanan menggerakkan ekonomi negara.
“Dalam keadaan ekonomi hari ini dengan pandemik Covid-19, ia merupakan satu cabaran besar buat negara dan negara-negara serantau.
“Jadi, setakat mana kerajaan hari ini dapat membentangkan belanjawan yang diterima semua lapisan masyarakat daripada rakyat biasa, pekerja swasta dan kerajaan, syarikat kecil, sederhana dan besar; semua mereka ini terlibat termasuk sistem kewangan yang merangkumi bank-bank,” katanya. – UTUSAN