Untung Sime Darby Plantation naik 830 peratus - Utusan Malaysia

Untung Sime Darby Plantation naik 830 peratus

Lonjakan keuntungan tersebut didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation (SD Plantation) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.036 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2020.

Ia merupakan lonjakan 830 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan kerugian RM142 juta.
Menurut syarikat itu, lonjakan keuntungan tersebut didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi.

Pengerusinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, syarikat itu akan terus fokus untuk memberikan nilai kepada pemegang saham dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

“Ketika kami terus memerhatikan dan menangani impak Covid-19 terhadap perniagaan, kami sememangnya digalakkan untuk mencatat prestasi yang lebih baik dari tahun ke tahun setakat ini.

“Kami akan terus mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemegang saham, keselamatan pekerjaan para pekerja, komitmen terhadap amalan yang lestari, perlindungan hak asasi manusia serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya dalam kenyataan semalam.

Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berulang SD Plantation meningkat tiga kali ganda tahun ke tahun daripada RM368 juta kepada RM1,077 juta sementara PBIT tidak ber­ulang yang lebih tinggi pula kebanyakan hasil daripada pelupusan aset.

Segmen hiliran syarikat itu, Sime Darby Olis (SDO) juga meningkatkan PBIT tiga kali ganda daripada RM24 juta pada suku ketiga 2019 kepada RM71 juta pada suku ketiga tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan SD Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, permintaan terhadap minyak sawit semakin baik dan dijangka akan terus meningkat pada tahun hadapan.

“Sebagai sektor yang membekalkan produk penting untuk dunia, industri ini menunjukkan ketahanan dalam ketidaktentuan global. Dalam waktu yang mencabar ini, kami menggesa lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak bekerja untuk me­rebut peluang pekerjaan dalam industri minyak sawit.

“Sebagai langkah untuk terus menangani kekurangan tenaga kerja dalam industri ini, kami berharap kerajaan akan meneruskan usaha untuk meringankan sekatan terhadap pekerja asing sementara syarikat terus menambah baik usaha mekanisasi dan digitalisasi bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya