Untung bersih S3 Petronas Gas RM591.01 juta - Utusan Malaysia

Untung bersih S3 Petronas Gas RM591.01 juta

Prestasi Petronas Gas itu dipacu margin yang lebih kukuh daripada segmen utiliti dan pengegasan semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Berhad dalam suku ketiga (S3) 2020 mencatatkan peningkatan signifikan sebanyak 36.94 peratus kepada RM591.01 juta daripada RM431.59 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam masa yang sama, perolehan syarikat tersebut bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2020 turut naik 5.2 peratus atau RM69.4 juta kepada RM1.41 bilion daripada RM1.34 bilion pada 30 September 2019 didorong oleh peningkatan pendapatan dalam segmen regasifikasi dan utiliti.

Petronas Gas dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia sejajar dengan tarif Tempoh Peraturan 1 (RP1) baharu berkuat kuasa awal tahun ini dan peningkatan masing-masing dalam penjualan gas perindustrian dan wap.

Berdasarkan prestasi setiap segmen, Petronas Gas memberitahu bagi segmen pemprosesan gas menyaksikan kilangnya mengekalkan prestasi operasi berkelas dunia apabila mencatatkan kebolehpercayaan hampir 99 peratus.

Menurut Petronas Gas, pendapatan segmen tersebut naik kepada RM427 juta berbanding suku sebelumnya dengan hasil meningkat 26 peratus atau RM51.1 juta berikutan kos operasi lebih rendah ekoran penurunan perbelanjaan susut nilai dan kos penyelenggaraan lebih rendah.

Segmen penghantaran gas syarikat tersebut pula terus merekodkan kebolehpercayaan hampir 100 peratus dengan hasil segmen tersebut naik 12.2 peratus atau RM24.5 juta disebabkan penggunaan gas dalaman rendah dan kos operasi lain menurun disebabkan Pangkalan Aset Terkawal (RAB) lebih rendah.

“Segmen regasifikasi juga kukuh apabila terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor turut mengekalkan prestasi kebolehpercayaan kukuh iaitu hampir 100 peratus.

“Hasil segmen utiliti pula naik 321.8 peratus atau RM35.4 juta sejajar dengan peningkatan pendapatan disokong oleh perbelanjaan susut nilai yang rendah,” katanya dalam makluman tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas, Kamal Bahrin Ahmad berkata, syarikat menjangkakan prestasi bagi keseluruhan 2020 kekal stabil dibantu operasi yang cekap dan pelan komersial jangka panjang.

“Kami terus berhasrat untuk memainkan peranan dalam perkhidmatan bersepadu Petronas bagi menyediakan penyelesaian tenaga bersih boleh dipercayai dan kos yang kompetitif kepada pelanggan.

“Ini juga sejajar dengan komitmen Kumpulan Petronas terhadap kelestarian,” katanya dalam kenyataan berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN