SAN FRANCISCO: Twitter dan Facebook menyekat beberapa akaun berita yang menyiarkan maklumat mengenai pengundian pilihan raya Amerika Syarikat (AS) kerana melanggar peraturan mereka.
Twitter memaklumkan, akaun tersebut telah disekat susulan melanggar polisi kerana menyiarkan kandungan yang dikhuatiri boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Antara akaun berita yang disekat ialah SVNewsAlerts yang mempunyai lebih daripada 78,000 pengikut Twitter.
Akaun tersebut sering memuat naik hantaran mengenai pergolakan berkaitan pilihan raya dan menekankan isu-isu keselamatan dan kebolehpercayaan pengundian.
Ia turut mendakwa wujud penipuan mengenai Demokrat dan perhimpunan ucapan Presiden AS, Donald Trump bagi mencetuskan keadaan tidak aman.
Akaun lain yang disekat oleh Twitter termasuk FJNewsReporter, Crisis_Intel dan Faytuks.
Facebook juga menyekat beberapa akaun yang berpangkalan di AS seperti SV News yang mempunyai lebih daripada 20,000 pengikut dan FJ News yang membuat hantaran maklumat tidak sahih.
Dalam pada itu, Twitter juga sedang meneliti fakta hantaran di akaun @PhillyGOP, antara yang menggunakan tanda pagar #StopTheSteal bagi merujuk kepada Parti Republikan di Philadelphia susulan seorang pemuda kulit hitam ditembak mati oleh polis.
Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Teknologi Facebook yang juga Pengarah Observatorium Internet Stanford, Alex Stamos berkata, terdapat usaha yang disengajakan untuk mencetuskan konflik dalam tempoh pemilihan ini.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Peguam Negara New York juga sedang meneliti ‘serangan’ robot misteri yang mendesak orang ramai untuk tinggal di rumah, dilaporkan berlaku di beberapa buah negeri.
Selain itu, beberapa akaun berita yang disekat dikesan berpusat di Rusia seperti SVNewsAlerts dan Faytuks yang mempunyai 11,000 pengikut dan didakwa pernah campur tangan dalam pilihan raya pada 2016. – AGENSI