KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penekanan kepada aspek kelestarian agromakanan terutama keselamatan, pembekalan dan kesihatan makanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Timbalan Presiden Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Jamal Othman berpendapat, Belanjawan 2021 telah memenuhi pelbagai keperluan yang sangat mendesak tahun semasa, namun untuk jangka panjang, kerajaan perlu melihat bentuk ekonomi yang berbeza dengan memberi tumpuan kepada aspek ketahanan, kelestarian dan ekonomi hijau.
“Kerajaan perlu mengukur kesejahteraan dalam bentuk yang lain, tidak terlalu bergantung kepada ukuran prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, tumpuan harus diberi kepada kelestarian fiskal yang sangat mengkhuatirkan terutama jangkaan unjuran fiskal tahun ini dan tahun depan sangat bergantung kepada prestasi KDNK.
“Banyak ruang yang boleh diperhatikan dan diberi penelitian kembali terutama sistem-sistem percukaian yang dianggap efisien, contohnya konsep atau sistem GST,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program APM: Bicara Belanjawan 2021 yang disiar secara maya melalui Facebook. Program itu dikendalikan oleh Presiden APM, Profesor Datuk Dr. Daing Mohd. Nasir Daing Ibrahim sebagai moderator.
Selain itu, Jamal berkata, jaringan keselamatan sosial dan ekonomi digital juga perlu diberi perhatian sepenuhnya sebagai konsep ketersediaan terutama ketika pandemik Covid-19 atau krisis lain yang tidak dijangka.
Dalam pada itu, Felo Kehormat APM, Dr. Jomo Kwame Sundaram pula berpendapat, negara perlu melihat potensi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE), biodiesel berasaskan minyak kelapa sawit dan agromakanan bagi menjamin keselamatan makanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Apa yang jelas terjejas di Malaysia dan seluruh dunia adalah bekalan makanan yang memberi ancaman kepada keselamatan makanan. Kita perlu ada satu pendekatan yang mana apa yang berlaku dalam sektor pertanian harus dikaitkan dengan sektor pendidikan dan kesihatan. Ini secara tidak langsung akan menjana ekonomi sekali gus mengurangkan pengangguran,” katanya. – UTUSAN