Top Glove tersenarai Indeks Kelestarian Dow Jones - Utusan Malaysia

Top Glove tersenarai Indeks Kelestarian Dow Jones

Asrama pekerja kilang sarung tangan Top Glove pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan kes Covid-19 membabitkan pekerjanya. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd. tersenarai dalam Indeks Kelestarian Dow Jones (DJSI) 2020 di bawah kategori Pasaran Membangun buat kali kedua berturut-turut.

Pada masa yang sama, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu juga menjadi satu-satunya syarikat dari Malaysia yang tersenarai dalam indeks tersebut.

Menurut Top Glove dalam kenyataan, syarikat itu berada di tangga ke-13 daripada 73 syarikat penjagaan kesihatan lain dalam indeks DJSI, mengatasi 83 peratus pesaingnya.

Katanya, ia merupakan peningkatan berbanding prestasi tahun lalu apabila Top Glove menduduki tangga ke-15 daripada 44 syarikat penjagaan kesihatan.

Top Glove berkata, syarikat itu mengatasi 67 peratus daripada pesaing industrinya dalam indeks tahun lalu.

“Indeks Pasaran Membangun DJSI menilai prestasi kelestarian daripada 10 peratus syarikat pasaran membangun terbesar dalam Indeks Pasaran Meluas Global S&P yang berfungsi sebagai rujukan utama pelabur dan syarikat.

“Kejayaan ini adalah bukti Top Glove mengamalkan amalan baik dalam ruang lingkup sosial, persekitaran dan ekonomi (EES),” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Top Glove turut muncul sebagai pemenang dalam Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) apabila Kilang 29 syarikat itu memenangi anugerah di bawah Kategori 1 (Industri Besar).

Dianjurkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, NEA 2020 menghargai usaha syarikat dalam kemajuan negara ke arah masa hadapan lebih mapan.

Top Glove berkata, Kilang 29 memperoleh kemenangan atas usaha dalam penjimatan tenaga, pengurangan pelepasan karbon dioksida, pengurangan penggunaan air, komitmen untuk inisiatif penjimatan utiliti, perancangan masa hadapan baik dan pelaksanaan projek penjimatan dan inovasi utiliti.

“Semua inisiatif ini turut dilancarkan di semua kilang sarung tangan Top Glove dan akan dilaksanakan sepenuhnya di kilang baharu pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN