Telco salur RM6 juta kepada barisan hadapan - Utusan Malaysia

Telco salur RM6 juta kepada barisan hadapan

mcmc
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (SKMM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) bekerjasama menyalurkan sumbangan RM6 juta kepada barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang terkesan teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Syarikat-syarikat itu termasuk Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), TIME dan U Mobile.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, sumbangan itu dihulurkan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) atau GDRN yang diterajui oleh Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional Berhad dan TM.

Sumbangan bernilai lebih RM5.8 juta pula merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) di hospital, pusat kuarantin, pembelian bekalan perubatan dan keperluan asas melalui pelbagai sumber seperti Tabung Covid-19 kerajaan, GDRN, Zakat TM, tabung sumbangan peribadi warga TM dan TM Family Care Packages.

Manakala dana yang disumbangkan kepada GDRN oleh TIME dotCom digunakan untuk membeli bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan ventilator.

Jelasnya, ia merupakan kali kedua syarikat-syarikat telekomunikasi menghulurkan sumbangan kepada GDRN.

Pihak GDRN dan Malaysian Coordination & Action Hub (MATCH) akan bertindak menyelaraskan sokongan oleh pihak industri telekomunikasi bagi membantu kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Majlis penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu majlis ringkas di sini.

“Selain sumbangan wang tunai melalui GDRN, kebanyakan syarikat telekomunikasi turut melanjutkan penawaran internet percuma sebanyak 1GB setiap hari dan ia terpakai untuk data mudah alih bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 31 Disember 2020 di samping memperkenalkan pakej-pakej khas.

“Bagi pakej-pakej khas, Celcom bekerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) sejak April lalu untuk menyalurkan bantuan seperti bekalan makanan kepada golongan B40 yang menetap di kawasan yang terkesan teruk akibat COVID-19 di Sabah dan menyediakan pelan internet bagi kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pek SIM prabayar XPAX di pusat kuarantin seluruh negara,” jelas kenyataan itu.

Digi pula memperkenalkan Pakej JENDELA Belia Sabah merangkumi produk Digital Prepaid NEXT yang menawarkan akses internet tanpa had dan panggilan kepada semua rangkaian.

Maxis menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan bagi hospital serta pihak berkuasa dan berkolaborasi bersama kerajaan negeri untuk memberikan sokongan komunikasi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

U Mobile bkerjasama dengan Huawei menaja sebanyak 60 peranti mudah alih lengkap dengan pelan pascabayar GX68 untuk tempoh setahun yang akan dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar yang memerlukan di kawasan pedalaman di Penampang, Ulu Papar dan Tamparuli.

TM pula menyediakan sambungan perkhidmatan jalur lebar 100Mbps di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tawau dan 800Mbps di pusat kuarantin dan PPR Bubul Ria, Semporna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN