Takaful Ikhlas lancar dua produk baharu sempena MSD 2020 - Utusan Malaysia

Takaful Ikhlas lancar dua produk baharu sempena MSD 2020

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyaksikan pelancaran dua produk perlindungan baharu Takaful Ikhlas sempena majlis perasmian Minggu Saham Digital 2020 di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Dr. Zeti Aziz dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Takaful Ikhlas Family Berhad, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad, hari ini melancarkan dua produk perlindungan baharu iaitu IKHLAS Bersama dan IKHLAS Dariku di majlis perasmian Minggu Saham Digital (MSD) 2020.

Pelancaran produk-produk itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Takaful Ikhlas, produk IKHLAS Bersama merupakan pelan perlindungan semua-dalam-satu dan mampu milik
untuk setiap lapisan masyarakat.

Produk itu menyediakan perlindungan asas untuk kematian yang boleh ditambah dengan aneka pilihan perlindungan komprehensif tambahan (rider), di mana pelanggan dapat ‘pilih dan padan’ mengikut keperluan masing-masing.

Jelasnya, perlindungan tambahan yang komprehensif itu antaranya merangkumi perlindungan penyakit kritikal, hilang
upaya menyeluruh dan kekal (TPD), kemasukan ke hospital (dengan kad perubatan), pendapatan harian jika dimasukkan ke hospital, pengecualian sumbangan dan perlindungan berkaitan kemalangan.

“IKHLAS Dariku pula adalah produk perlindungan yang menumpukan kepada pemberian hibah. Selain memberikan jaminan kepada orang tersayang, IKHLAS Dariku juga memberikan Manfaat Kematian Tambahan di mana waris akan diberikan bayaran tambahan sebanyak 100 peratus daripada amaun perlindungan asas untuk kematian akibat kanser, tambahan 200 peratus daripada amaun perlindungan asas untuk kematian akibat kemalangan dan tambahan 300 peratus daripada amaun perlindungan asas sekiranya peserta meninggal dunia semasa menunaikan ibadat haji atau umrah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, IKHLAS Dariku juga memberikan ganjaran tunai kepada pelanggan untuk peristiwa-peristiwa penting seperti perkahwinan, kelahiran anak, pembelian rumah baharu, menunaikan ibadat haji dan melancong ke lima negara yang berbeza.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family, Nor Azman Zainal berkata, produk IKHLAS Bersama dan IKHLAS Dariku direka buat semua lapisan masyarakat bagi memudahkan mereka memiliki pelan perlindungan takaful yang lebih komprehensif dan fleksibel iaitu semua-dalam-satu, serta kekal relevan dalam pasaran yang kompetitif.

“Ciri unik IKHLAS Bersama dan IKHLAS Dariku adalah di mana kedua-dua produk ini mempunyai faedah istimewa yang disebut Accelerated Death Expense (ADE). Dengan ADE, waris terdekat akan menerima sehingga RM20,000 daripada amaun perlindungan serta-merta sekiranya peserta meninggal dunia. Ia bertujuan untuk mengurangkan bebanan kewangan keluarga disebabkan kematian insan yang tersayang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN