KUALA LUMPUR: Penganalisis menyifatkan pelaksanaan cukai `durian runtuh’ untuk sektor sarung tangan dalam Belanjawan 2021 sukar berlaku melihat kepada situasi sektor tersebut ketika ini serta prospek masa hadapannya.
Penganalisis CGS-CIMB, William Aw berkata, ia disebabkan kekurangan piawaian harga untuk sarung tangan disebabkan kepelbagaian jenis, spesifikasi dan gred produk selain pasaran yang mahu disasarkan.
“Kami mendapati bahawa sebilangan pengeluar sarung tangan kecil hanya mendapat keuntungan minimum atau mengalami kerugian secara konsisten disebabkan Covid-19.
“Jika cukai `durian runtuh’ atau apa-apa menyerupainya dilaksanakan pada sektor sarung tangan, kami percaya ia akan menjadi bayaran atau kutipan sekali beri kepada kerajaan,” katanya dalam nota kajian di sini semalam.
CGS-CIMB turut menjalankan analisis sensitiviti untuk menggambarkan potensi impak kenaikan cukai korporat kepada sektor sarung tangan dan pendapatan kerajaan.
Melalui analisis tersebut, dianggarkan kenaikan lima peratus cukai korporat akan mengurangkan 6.5 peratus keuntungan bersih tahun kewangan 2020 sektor tersebut dan meraih lebihan RM593 juta untuk kerajaan.
Selain itu, Aw berpendapat, pelaksanaan tersebut mungkin menyebabkan syarikat sarung tangan Malaysia memilih untuk meluaskan perniagaannya ke luar negara.
“Secara khusus, negara yang dimaksudkan adalah negara yang menawarkan insentif lebih tinggi (cukai, subsidi faedah pinjaman dan lain-lain) serta tenaga buruh yang mencukupi. Ini berpotensi menyebabkan kehilangan peluang untuk kerajaan mendapatkan pelaburan masa hadapan yang rendah oleh pemain industri sarung tangan dan manfaat limpahannya.
“Kami menjangkakan empat pembuat sarung tangan di dalam liputan kami akan melaburkan perbelanjaan modal sehingga RM15 bilion secara domestik dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN