SHAH ALAM: SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV), anak syarikat SIRIM Bhd. mengadakan kerjasama dengan syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan alam sekitar dan tenaga diperbaharui, Bion Sdn.Bhd. (BiON) dalam bidang pengeluaran gas asli.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-kedua pihak.
Presiden SIRIM Berhad, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani (gambar) berkata, dalam menyokong industri biogas, SIRIM membangunkan penyelesaian inovatif bagi pengeluaran biogas selain menaiktaraf kualiti seperti gas asli atau biogas asli.
“SIRIM mempunyai kepakaran merentasi keseluruhan rantaian nilai daripada penulenan dan pengeluaran, pengedaran melalui Sistem Perpaipan Virtual (VPS), penggunaan dan pembangunan standard serta pengujian dan penentusahan.
“SIRIM juga berjaya membangunkan dan membuat demonstrasi kesesuaian teknikal dan ekonomikal biogas asli (BioNG) untuk akses pasaran melalui sebuah loji demonstrasi,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu secara maya kelmarin.
Pada majlis itu, STV diwakili oleh Ahmad Fadzil manakala BiON diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Nazim Syed Faisal.
Ahmad Fadzil yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM berkata, MoU tersebut diusahakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Platform Koordinasi Pelaburan Domestik yang memadan dan memudahkan penyedia teknologi dengan rakan industri dalam rantaian nilai biotenaga bagi meneroka peluang dan masa depan industri berkenaan.
“SIRIM telah berjaya membangunkan dan membuat demonstrasi kesesuaian BioNG untuk akses pasaran melalui sebuah loji demonstrasi. Loji demonstrasi BioNG dibangunkan pada 2016 di Merotai, Tawau dan loji tersebut mampu menghasilkan 6,000m padu biogas asli atau bersamaan dengan 6,000 liter diesel sehari.
“Demonstrasi dilakukan di lapangan dan di luar kawasan, dan bertumpu kepada nilai rantaian keseluruhan yang melibatkan bahan mentah, pengeluaran, pemprosesan, penstoran dan pengedaran,” katanya.
Tambahnya, STV dan BiON juga akan mewujudkan kerjasama teknikal dalam pengeluaran biogas termampat dan sistem yang berkaitan serta kerjasama projek berpotensi lain yang berkaitan dengan Sisa Buangan kepada Tenaga. – UTUSAN