Sime Darby peruntuk capex RM500 juta - Utusan Malaysia

Sime Darby peruntuk capex RM500 juta

Jeffri Salim Davidson
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sime Darby Berhad memperuntukkan RM500 juta perbelanjaan modal (capex) bagi operasi dalam tahun kewangan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, peruntukan itu akan disalurkan ke bahagian automotif konglomerat tersebut.

Beliau berkata, ia adalah untuk membina pusat pameran baharu terutama di negara China.

“Satu perkara yang kami tekankan adalah untuk mendapatkan lebih banyak pengedar kenderaan daripada syarikat induk termasuk BMW terutama di bandar raya besar China.

“Dari masa ke masa kami dianugerahkan dengan lebih ba­nyak pengedar kenderaan. Buat masa sekarang, apa yang saya boleh beritahu kami akan mempunyai pengedar kenderaan baharu di Chengdu, China.

“Kami akan mendapatkan satu lagi, namun belum boleh didedahkan buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar pe­ngumuman prestasi suku pertama Sime Darby secara maya semalam.

Kedudukan kewangan Sime Darby mencatatkan prestasi lebih baik pada suku pertama berakhir 30 September 2020 tahun kewa­ngan 2021, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen permotoran terutama di China.

Untung bersih Kumpulan Sime Darby melonjak 14.2 peratus kepada RM281 juta berbanding RM246 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2020.

Pendapatan konglomerat tersebut tu­rut meningkat 14.8 peratus kepada RM10.9 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun kewangan 2021 berbanding RM9.48 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Jeffri Salim menjelaskan, pemulihan ekonomi China menjadi pemacu kepada keputusan kewangan suku pertama yang lebih kukuh apabila operasi di negara berkenaan terutama segmen permotoran menyumbang keuntungan lebih 70 peratus.

Mengulas penyenaraian unit penjagaan kesihatan Sime Darby, Jeffri Salim berkata, pihaknya masih menilai kemungkinan tersebut dan keputusan akan hanya diketahui dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.

“Kami masih belum membuat keputusan untuk menyenaraikan Ramsay Sime Darby Health Care Sdn. Bhd. kerana sedang membuat penilaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya