KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly diumumkan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad baharu berkuat kuasa 1 Disember depan.
Menurut Boustead dalam kenyataan, Mohammed Shazalli mempunyai kerjaya gemilang dan pengalaman selama lebih 30 tahun dalam pelbagai industri termasuk telekomunikasi, media dan penyiaran di samping pemasaran pengguna.
Pada masa sama, Boustead berkata, Mohammed Shazalli juga dipandang tinggi dan terkenal dalam industri sebagai pakar pemulihan dengan kekuatan dalam transformasi korporat, penjanaan pendapatan, digitalisasi, pemasaran dan pengedaran serta kecemerlangan komersial dan operasi.
“Mohammed Shazalli juga membawa pengalaman luas sebagai pengarah syarikat di mana beliau sebelum ini menganggotai beberapa organisasi terkemuka seperti Malaysia Airline System Berhad (MAS) dan pasukan petugas khas Proton Holdings Berhad.
“Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaaan dari Universiti St. Louis, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemasaran) dari Universiti Indiana, AS,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum bertugas sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TM, Mohammed Shazalli merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau dan Naib Presiden Eksekutif Korporat Axiata Group Berhad.
Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad sejak 2005 hingga 2016 di mana Celcom memecahkan rekod sebanyak 31 kali pertumbuhan suku berturut-turut dengan apabila mencatatkan pertunbuhan dua digit dalam pendapatan, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan bersih.
Dalam pada itu, Pengerusi Boustead, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengalu-alukan kehadiran Mohammed Shazalli dan berkeyakinan pengalaman profesional serta rekod prestasi yang dimilikinya dalam transformasi korporat dan pengurusan mampu mendorong Boustead ke tahap lebih tinggi.
“Mohammed Shazalli menyertai kami pada waktu yang tepat dengan inisiatif transformasi sedang berjalan. Kepakaran dan kepintaran perniagaannya pasti memberi peluang kepada prospek perniagaan Kumpulan.
“Kehadiran Mohammed Shazalli sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Boustead memperkukuh komitmen konglomerat terhadap pemberi pinjaman, kerajaan, pemegang saham institusi dan awam serta ribuan kakitangan di seluruh kepelbagai operasi kami.
“Boustead akan meneruskan perjalanan transformasi dengan mantap menuju matlamat menjadi organisasi berprestasi tinggi dan mampan menjelang 2023,” katanya. – UTUSAN