Selangor rekod nilai pelaburan RM11.7b - Utusan Malaysia

Selangor rekod nilai pelaburan RM11.7b

Amirudin Shari memaklumkan di Dewan Undangan Negeri Selangor bahawa dasar mesra pelabur dan infrastruktur berkualiti tinggi antara faktor tarikan pelabur ke negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nilai pelaburan berjumlah RM11.7 billion berjaya direkodkan Selangor antara Januari sehingga September lalu.

Jumlah itu bagaimanapun masih rendah berbanding pela­buran yang dicatatkan negeri itu tahun lalu sebanyak RM18 bilion dan 2018 sebanyak RM17 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 60 peratus nilai pelaburan direkodkan daripada sektor perkhidmatan manakala 40 peratus lagi menerusi sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan kuari.

“Negeri ini selalu dianggap negeri perindustrian namun ekosistem ekonomi sudah berubah apabila sektor perkhidmatan menjadi semakin penting,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.

Terdahulu, Zakaria bertanya berkenaan jumlah pelaburan asing (FDI) yang telah masuk ke Selangor bagi tahun ini.

Mengulas perkara itu lagi, Amirudin yang merupakan ADUN Sungai Tua berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 122 projek perkilangan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Ia melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM3.39 billion. Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.55 billion atau 46.05 peratus adalah daripada pelaburan asing,” ujarnya.

Beliau berkata, ketelusan pentadbiran, dasar mesra pelabur dan infrastruktur berkualiti tinggi telah menjadi faktor penting yang berjaya menarik pelabur ke negeri ini.

“Dasar Kelulusan 100 hari untuk menjalankan perniagaan atau pelaburan, lawatan ke kilang serta pameran dan seminar secara maya juga diyakini membantu kita berdepan situasi ekonomi mencabar pada tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN