Segera failkan aduan – NUFAM - Utusan Malaysia

Segera failkan aduan – NUFAM

NUFAM mendakwa kebanyakan kru kabin Malindo Air yang diberhentikan hanya terima pampasan RM4,000 sahaja. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kakitangan Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air) yang terpaksa menelan hakikat apabila diberhentikan kerja digesa untuk membuat aduan segera dalam tempoh 60 hari.

Hal demikian kerana, Timbalan Setiausaha Agong, Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Shashi Kumar berpandangan pampasan dan terma pembuangan pekerjaan yang diterima kakitangan Malindo Air sebagai tidak munasabah.

Menurut Shashi, difahamkan kebanyakan kru kabin hanya menerima pampasan berjumlah RM4,000 sahaja dengan sebahagian besar daripada kakitangan merupakan golongan berpendapatan rendah (B40) yang masih mempunyai kontrak sehingga 2024.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan kakitangan telah menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara pemberhentian pekerjaan dan telah menghubungi pejabat kesatuan itu.

“Kebanyakan yang terjejas merupakan golongan muda yang hanya bekerja dengan Malindo Air kurang dari empat tahun dan kami dimaklumkan ramai antara mereka tidak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu tetapi secara tiba-tiba dibuang kerja.

“Adakah ini cara yang adil jika aduan tersebut itu benar? Hutang gaji pekerja belum dibayar tetapi syarikat membuang pekerja sebelum melangsaikan tunggakan gaji,” katanya dalam kenyataan semalam.

Malindo Air dilaporkan akan beroperasi pada skala lebih kecil dan terpaksa mengurangkan sehingga 2,200 pekerjanya dalam usaha memastikan kelangsungan perniagaan ekoran impak Covid-19 ke atas industri penerbangan.

Syarikat penerbangan tambang rendah tersebut mempunyai 3,200 pekerja dan memuktamadkan untuk mengekalkan hanya kira-kira 1,000 kakitangan.

Difahamkan, pekerja Malindo Air yang diberhentikan telah pun menerima surat pemberhentian masing-masing, Jumaat lalu.

Tambah Shashi, NUFAM telah membuat aduan kepada Kementerian Sumber Manusia sebelum ini mengenai masalah yang dihadapi pekerja Malindo Air tetapi tiada tindakan lanjut dilaksanakan setakat ini.

Shashi turut mendakwa Malindo Air telah menerima peruntukan berjumlah RM3 juta untuk membayar gaji pekerja yang telah dicutikan tetapi malangnya ramai antara pekerja tidak dibayar peruntukan bulanan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya