NEW YORK: Saham-saham di Asia meningkat menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sementara pelabur terus memberi sokongan kepada data pengeluaran kilang di China, Eropah dan AS.
Selain itu, dolar AS dan emas turut meningkat di tengah-tengah ketidakpastian politik.
Penganalisis berpendapat, dasar monetari di seluruh dunia tetap longgar bagi menyokong pasaran saham, susulan pilihan raya AS masih tidak menunjukkan keputusan yang jelas.
Penganalisis di ANZ Bank dalam nota penyelidikannya berkata, apapun keputusan pilihan raya itu, dasar bank pusat di seluruh dunia akan tetap akomodatif untuk memastikan kecairan yang mencukupi di pasaran.
Dalam sesi awal dagangan semalam, Indeks ASX Australia meningkat 1.17 peratus, manakala niaga hadapan indeks Hang Seng naik 2.2 peratus. Indeks utama Korea Selatan, KSII pula menokok 1.7 peratus, sementara indeks mewah China, CSI300 meningkat 0.8 peratus.
Niaga hadapan S&P 500 turut naik 0.5 peratus, meluaskan keuntungan di Wall Street kelmarin, sementara indeks hadapan FTSE menokok 0.9 peratus. Indeks Nikkei, Jepun bagaimanapun ditutup sempena cuti umum di negara itu.
Ahli strategi di Institut Pelaburan Blackrock berkata, tinjauan umum membayangkan kemungkinan parti Demokrat akan memenangi pilihan raya berkenaan.
“Kami menaikkan perolehan dalam pasaran ekuiti Asia dan Jepun kepada lebih kuat, ketika China dan kebanyakan ekonomi Asia lain telah melakukan yang terbaik dalam mengekang wabak Covid-19 dan ke arah pemulihan ekonomi. Kami jangka situasi ini berterusan pada bulan-bulan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, data pengeluaran kilang yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan daya tahan yang tidak dijangka dalam aktiviti pembuatan di seluruh dunia.
Aktiviti pembuatan AS dipercepat daripada jangkaan pada Oktober dengan tempahan baharu melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 17 tahun ini, manakala aktiviti kilang China berkembang paling pantas bagi tempoh 10 tahun manakala pembuatan di zon euro juga meningkat.
Bagaimanapun, data ekonomi yang stabil membantu harga minyak dengan niaga hadapan minyak mentah Brent stabil pada AS$39.24 (RM163.18) setong.
Namun, ketidakpastian keputusan pilihan raya AS dan peningkatan semula kes Covid-19 di Eropah dan AS menyokong harga dolar AS dan emas.
Emas mengukuh pada A$1,893.85 (RM7,875.58) satu auns manakala indeks dolar AS bertahan pada paras 94.027.
Dolar yang lebih kukuh mengekalkan euro di belakangnya, walaupun stabil pada AS$1.16405 (RM4.84) pada awal dagangan. – AGENSI