PUTRAJAYA: RHB Islamic Bank Berhad bersedia membantu Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam menjayakan inisiatif program Rumah Ibadat Hijau atau Masjid Hijau seluruh negara.
Kerjasama dengan agensi kementerian itu, Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) bakal mengubah imej lebih 6,000 buah masjid di negara ini lebih mesra alam.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adissadikin Ali, ia susulan kejayaan projek rintis yang dilancarkan di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 25 September lalu.
“Pihak RHB Islamic akan menyediakan pelan pembiayaan dana selain jadi perantara kepada masyarakat yang ingin membantu dengan mewakafkan sumbangan untuk program ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan MGTC bagi program berkenaan di kementerian tersebut di sini hari ini.
Majlis julung kali itu disaksikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan MGTC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Bahar Mohd. Nor.
Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Mengulas lanjut, Addissadikin berkata, mesyuarat pertama telah dibuat dengan MGTC pada 16 Oktober lalu.
“Kami terpanggil untuk membantu kerana kebanyakan masjid ada akaun dengan RHB Islamic, namun kutipan diterima mereka banyak dihabiskan untuk membayar bil utiliti bulanan,” katanya.
Justeru, pihak bank itu ujarnya, bakal mewujudkan instrumen wakaf bagi penyertaan komuniti untuk mengubah masjid di negara ini beralih kepada teknologi hijau yang jimat kos tenaga.
Dalam pada itu, Zaini memberi bayangan program sedemikian dijangka memerlukan dana sehingga RM6 bilion sekiranya kos purata setiap masjid dianggarkan sebanyak RM100,000.
“Ia bergantung saiz keluasan masjid kerana jika besar lebih 3,000 jemaah, kos pembiayaan mungkin mencecah RM100,000 tetapi jika kecil, perlu dana dalam anggaran RM30,000,” jelasnya.
Kementerian itu ujar beliau, menyasarkan kesemua rumah ibadat termasuk bukan Islam akan beralih sepenuhnya kepada teknologi mesra alam menjelang akhir tahun depan.
Pada masa ini kata Zaini, kesemua agensi dan jabatan di kementerian itu telah memilih 12 buah rumah ibadat di lapan negeri untuk pelaksanaan peringkat awal program berkenaan. – UTUSAN