RCEP, Covid-19 jadi tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN - Utusan Malaysia

RCEP, Covid-19 jadi tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN

Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 2020 secara maya di Hanoi, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Pemeteraian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) termasuk meneliti inisiatif ASEAN bagi tindak balas Covid-19 akan menjadi agenda utama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 di sini.

Sidang itu dihoskan oleh Vietnam selaku Pengerusi ASEAN 2020 dan diadakan secara maya bermula semalam hingga 15 November ini.

Selain 10 negara anggota ASEAN, negara lain turut serta dalam RCEP adalah China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Perjanjian RCEP akan menjadikan perkumpulan itu sebagai zon perdagangan bebas terbesar di dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara anggota.

Sebanyak 15 negara RCEP yang mengambil bahagian merangkumi hampir satu pertiga daripada penduduk dunia dan menyumbang hampir 30 peratus daripada KDNK global.

Perjanjian berkenaan dijadual dibincangkan Ahad ini selepas hasil rundingan lapan tahun sejak ia dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja. China merupakan negara rakan dagangan terbesar bagi anggota RCEP.

“Selepas lapan tahun berunding, akhirnya kita akan sampai ke kemuncak apabila RCEP akan ditandatangani Ahad ini,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelang persidangan secara maya itu.

Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc turut mengesahkan pakatan itu akan menandatangani perjanjian berkenaan hujung minggu ini.

Timbalan Menteri Luar Vietnam, Nguyen Quoc Dung pula berkata, pemeteraian RCEP akan memberi momentum baharu kepada perdagangan serantau blok berkenaan.

Perang perdagangan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan China mendorong rundingan RCEP disegerakan, walaupun agak perlahan sejak dimulakan pada 2012.

Penyertaan Jepun dan Korea meletakkan RCEP pada kedudukan yang lebih baik untuk membentuk blok perdagangan serantau.

Bagaimanapun, bakal Presiden AS, Joe Biden dilihat akan kembali mengukuhkan hubungan negara kuasa besar itu dengan ASEAN, dalam usaha ‘menyekat’ pengaruh China di rantau ini.

Penolong profesor di Pusat Pengajian Multilateralisme, Sekolah Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, Kaewkamol Pitakdumrongkit berkata, RCEP bakal memberi `kelegaan’ kewangan kepada negara anggota yang terjejas akibat Covid-19.

“Di sebalik peningkatan kes Covid-19, RCEP akan membantu ASEAN pulih lebih cepat apabila firma-firma dibenarkan beroperasi. Ia sekali gus memperkukuhkan ekonomi serantau,” kata­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya