KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani 15 negara semalam disifatkan sebagai kepercayaan terhadap keterbukaan pasaran sekali gus membawa kepada pertumbuhan ekonomi lebih meluas.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Berhad, Stuart Milne berkata, RCEP mungkin bakal menjadi tonik terbaik yang diperlukan negara-negara Asia untuk pulih daripada kemelesetan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, dagangan intra-Asia yang sememangnya lebih besar berbanding perdagangan antara Asia dengan Amerika Utara dan Eropah akan terus menerajui pertumbuhan ekonomi global.
Dalam masa yang sama, Milne turut berpendapat ia juga akan menarik pusat ekonomi dunia ke arah benua Asia.
“Kami berharap ahli-ahli RCEP akan kekal membina kemajuan yang telah dicapai dan seterusnya meliberalisasikan perdagangan serta pelaburan di rantau ini.
“Sebagai pintu masuk ke ASEAN, Malaysia dapat memperkukuhkan lagi perdagangan rentas sempadannya dan hubungan ekonomi dengan rakan RCEP,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebanyak 15 negara menandatangani RCEP secara maya, Ahad lalu dengan harapan dapat membantu untuk bangkit semula daripada kesan Covid-19.
RCEP merangkumi 10 ekonomi Asia Tenggara bersama China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.
India yang juga rakan dialog ASEAN bagaimanapun memilih untuk menarik diri daripada kerjasama berkenaan.
Mengulas lanjut, Milne berkata, dengan akses pasaran lebih meluas, sektor perniagaan Malaysia boleh berharap untuk berkembang ke serantau dan global.
“Kami turut menantikan lebih banyak pelaburan ke dalam negara dan juga rantau ini secara keseluruhan dengan lebih banyak syarikat asing untuk berpangkalan di ASEAN memandangkan RCEP berkesan membolehkan penumpuan antara perjanjian perdagangan bebas (FTA),” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmad Razman Abdul Latiff berpendapat, keputusan Malaysia menandatangani RCEP adalah tepat kerana pada masa kini nilai perdagangan antara negara Asia sudah melebihi nilai perdagangan mereka dengan Amerika Utara dan Eropah.
“RCEP membolehkan Malaysia meningkatkan hubungan perdagangan dengan negara ASEAN yang lain termasuk lima negara dagang Asia iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
“Ini termasuklah menarik lebih banyak pelabur asing untuk melabur di negara ASEAN termasuklah Malaysia.
“RCEP juga membantu syarikat-syarikat Malaysia termasuk PKS mengembangkan perniagaan mereka melangkaui pasaran domestik terutamanya apabila banyak tarif yang dikenakan oleh negara-negara di bawah RCEP selepas ini akan dihapuskan,” katanya. – UTUSAN