Public Islamic tawar pembiayaan panel solar - Utusan Malaysia

Public Islamic tawar pembiayaan panel solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Public Islamic Bank Berhad (PIBB) menawarkan pembiayaan panel solar bagi rumah kediaman khusus untuk pelanggan pembiayaan perumahan PIBB dan Public Bank Berhad sedia ada.

Menurut PIBB, tawaran tersebut bermula 12 November lalu sehingga 31 Disember 2021.

Katanya, pakej tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PIBB menyumbang secara positif ke arah kesejahteraan masyarakat melalui pengantaraan berasaskan nilai (VBI).

“VBI bertujuan menyeragamkan model perniagaan Islam ke arah merealisasikan matlamat prinsip syariah untuk menjana kesan positif dan mapan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar.

“Dengan kadar pembiayaan daripada kadar asas iaitu dua peratus setahun sehingga tempoh 10 tahun berbanding kadar asas terkini iaitu 2.27 peratus setahun bermula 10 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

PIBB berkata, selain melindungi alam sekitar dengan kuasa elektrik yang dijana daripada sumber mapan, pelanggan juga dapat menjimatkan wang kerana bil elektrik rendah atau sifar bergantung kepada penggunaan.

Dalam masa yang sama, kempen pembiayaan PIBB itu juga menyokong inisiatif kerajaan menggalakkan kadar penyerapan tenaga boleh diperbaharui yang mana panel solar tersebut akan beroperasi di bawah skim Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) termasuk Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Kegunaan Sendiri (SELCO).

Institusi perbankan itu memberitahu, pelanggan boleh memilih untuk membeli daripada syarikat yang terdapat dalam senarai rakan kongsi syarikat solar panel PIBB.

“PIBB juga sedang meninjau peluang menawarkan pembiayaan kepada sektor komersial pada masa hadapan kerana dijangkakan panel solar ini akan menghasilkan kesan positif kepada alam sekitar daripada perspektif kemapanan serta penjimatan untuk syarikat yang mengambil bahagian,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi cawangan PBB atau PIBB, melayari laman web PIBB iaitu www.publicislamicbank.com.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-22-5555 pada waktu bekerja biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN