IPOH: Reka bentuk menarik dan harga mampu milik menjadikan model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X50 keluaran Proton Holdings Bhd. (Proton) pilihan pembeli meskipun keadaan pasaran mencabar ekoran penularan Covid-19.
Seorang pesara, Halimah Abdul Halim, 60, berkata dia bukan sahaja tertarik dengan reka bentuk yang menarik dan sporty, malah ciri keselamatan serta teknologi terkini pada model terbaharu itu.
Katanya, Proton X50 bakal menjadi kenderaan jenis SUV pertamanya selepas membuat tempahan dalam talian pada 16 September lalu.
“Sebaik sahaja dilancarkan, saya terus membuat bayaran RM500 untuk tempahan bagi varian Flagship. Proton X50 ini adalah jenama kereta nasional pertama untuk saya dan suami.
“Saya tidak sabar untuk tunggu kereta ini dan harap dapat memandunya sebelum hujung tahun. Reka bentuknya sangat menarik dan saya memang teringin memandu SUV,” katanya ketika ditemui di Proton Edar Ipoh, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini baru-baru ini.
Bagi D. Raj Kumar, 26, dia sememangnya menantikan model terbaharu SUV Proton itu kerana ingin membuat perbandingan antara X50 dan X70.
“Saya pada mulanya bercadang untuk membeli Proton X70 namun menangguhkan pembelian untuk melihat sendiri kelebihan yang ada pada X50.
“Berdasarkan pemerhatian saya, model X50 ini lebih menarik dan harganya juga mampu milik. Ciri-ciri sporty yang ada padanya sesuai untuk semua golongan khususnya orang muda,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Pentadbiran Proton Edar Ipoh, Nur Elyani Rosli berkata, sebanyak 118 unit tempahan diterima pihaknya sehingga hari ini sejak model terbaharu itu diperkenalkan pada September lalu.
Katanya, sambutan bagi model tersebut dilihat memberangsangkan meskipun pada mulanya dijangka tempahan berkurangan akibat penularan pandemik Covid-19.
“X50 merupakan SUV kedua oleh Proton selepas X70. Jika SUV X70 menggunakan asas dari model Geely Boyue, X50 juga mengikut jejak yang sama dengan menggunakan asas daripada model yang lebih kecil, Geely Binyue.
“Model terbaharu ini juga didatangkan dengan empat varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan varian tertinggi, 1.5TGDi Flagship.
“Daripada keempat-empat varian ini, varian Flagship menerima tempahan tertinggi di Ipoh iaitu sebanyak 51 unit,” katanya. – UTUSAN