Prestasi pasaran buruh meningkat - Utusan Malaysia

Prestasi pasaran buruh meningkat

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran buruh mencatatkan sedikit peningkatan pada suku ketiga berbanding tempoh tiga bulan antara April hingga Jun tahun ini disebabkan pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pembukaan semula sektor pendidikan dan industri berkaitan serta peningkatan aktiviti pelancongan selaras dengan kebenaran perjalanan merentas negeri adalah antara perkembangan positif yang dapat dilihat pada suku ketiga 2020.

Beliau berkata, perkara tersebut menyumbang kepada kedudukan pasaran buruh lebih baik bagi suku ketiga berbanding suku sebelumnya dengan dari segi penawaran buruh, kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus selepas mencatatkan kadar tinggi 5.1 peratus dalam suku kedua.

Sementara itu, Mohd. Uzir memberitahu, penduduk bekerja dalam tempoh sama turut meningkat 1.4 peratus kepada 15.10 juta orang yang mana sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

“Jumlah jawatan sektor swasta yang merangkumi jawatan diisi dan kekosongan bertambah sebanyak 88,000 pada suku ketiga berbanding suku terdahulu dengan merekodkan 8.47 juta jawatan.

“Kekosongan jawatan naik sebanyak 9,800 kepada 179,000 walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi mencabar sekali gus merekodkan kadar kekosongan 2.1 peratus berbanding dua peratus pada suku kedua 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh pada suku ketiga, Mohd. Uzir berkata produktiviti buruh per jam pekerja jatuh 2.2 peratus kepada RM23,248 bagi setiap pekerja apabila ekonomi negara pulih dengan penurunan lebih kecil 2.7 peratus manakala pekerja berkurang sebanyak 0.4 peratus.

Beliau memberitahu, produktiviti buruh per jam bekerja juga meningkat secara marginal 0.1 peratus kepada RM41 per jam dengan jumlah jam bekerja turun sebanyak 2.7 peratus kepada 8.55 bilion jam.

“Menjelang akhir September tahun ini, kes baharu Covid-19 telah mencatatkan peningkatan mendadak menyebabkan negara berdepan gelombang ketiga yang juga merupakan gelombang terbesar sejak bulan Oktober.

“Dalam hal ini, pasaran buruh dijangka menghadapi cabaran bagi memperoleh kembali momentumnya dengan kerajaan mengambil tindakan proaktif menangani isu ini apabila memperkenalkan pakej rangsangan komprehensif dalam melindungi kumpulan terjejas, mengekal dan mewujudkan pekerjaan serta menyokong perusahaan kecil, sederhana dan mikro,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya