KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan mod pembayaran baharu untuk penggunaan perkhidmatan awam kendalian Prasarana, myrapidTap.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, myrapidTap adalah satu lagi inisiatif berterusan daripada Prasarana dan anak-anak syarikatnya untuk memudahkan penggunaan pengangkutan awam.
“MyrapidTap memudahkan lagi orang awam menggunakan pengangkutan awam melalui kemajuan teknologi khususnya untuk menggalakkan sistem pembayaran tanpa tunai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MyrapidTap adalah hasil kolaborasi anak syarikat Prasarana, Prasarana Integrated Development Sdn. Bhd. (Pride) dengan syarikat teknologi, Community Marketplace Technology Sdn. Bhd. (CMTech).
MyRapidTap akan menjadi satu lagi aplikasi mod pembayaran alternatif untuk penggunaan perkhidmatan awam kendalian Prasarana, bermula dengan bas perantara Jom Naik MRT yang dijangka pada awal tahun hadapan.
Ia turut dirancang untuk digunakan dalam perkhidmatan Rapid KL yang lain dan pengesahan tentangnya akan diumumkan kemudian.
Menurut Prasarana, aplikasi itu akan dilengkapi kemudahan dompet digital sebelum dikembangkan untuk meliputi keupayaan perancangan perjalanan bagi memberi kemudahan kepada pengguna merancang perjalanan mereka.
Ketua Pegawai EKsekutif CMTech, Herbert Poh berkata, dengan kesinambungan yang disediakan Prasarana, aplikasi myrapidTap mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan aktiviti perniagaan.
“Ia sekali gus memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana di sekitar jajaran pengangkutan Rapid KL,” katanya.
Pengguna boleh mendapatkan aplikasi tersebut di aplikasi Google Play dan Aplle Store. – UTUSAN