KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan telah mencapai persetujuan dengan Batu Kawan Berhad (BKB) untuk melupuskan keseluruhan pegangannya dan dana unit amanahnya sebanyak 56.3 peratus dalam Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) pada harga RM292.8 juta.
Menurut syarikat itu, harga tersebut mewakili premium sebanyak 69 peratus daripada harga saham purata berwajaran tiga bulan dan akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk baki saham dalam CCM.
Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, penjualan tersebut telah dilakukan dengan teliti dan meliputi proses tadbir urus pelbagai peringkat bagi memastikan ia memenuhi dasar dan objektif pelaburan PNB yang ketat.
“Pelupusan ini adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian aset PNB bagi mengimbangi portfolio dan konsisten dengan usaha kami untuk terus meningkatkan nilai agar dapat memberi pulangan mampan kepada pemegang unit kami.
“Proses penjualan dan penentuan harga yang tepat telah dilakukan secara menyeluruh oleh penasihat kami, Maybank Investment Bank Berhad dan kami berpuas hati dengan harga jualan akhir yang memberikan premium tinggi berbanding harga pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
CCM merupakan pengeluar produk salutan klor-alkali dan polimer yang terkenal di Malaysia yang merupakan antara tiga pengeluar utama lapisan polimer untuk industri sarung tangan dan satu daripada pengeluar terbesar klorin untuk rawatan bekalan air.
Menurut Ahmad Zulqarnain, mereka menghargai kepercayaan dan keyakinan para pemegang unit kepada mereka untuk menghasilkan pulangan bagi pelaburan dan PNB akan terus berusaha serta bertindak demi kepentingan terbaik pemegang unitnya.
“Sebagai penjaga kekayaan milik berjuta pemegang unit bumiputera dan rakyat Malaysia, PNB sentiasa mendukung mandat kami dalam setiap keputusan pelaburan dan terus komited melaksanakan standard pengendalian tertinggi dalam usaha menjana pulangan kepada pemegang unit kami,” katanya. – UTUSAN