Petronas selesai penghantaran pertama simpanan LNG - Utusan Malaysia

Petronas selesai penghantaran pertama simpanan LNG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) secara rasmi memulakan perniagaan simpanan gas asli cecair (LNG) apabila menyempurnakan operasi bunkering LNG pertama di Pasir Gudang, Johor.

Petronas dalam kenyataan memberitahu, operasi melibatkan pemindahan simpanan LNG kapal-ke-kapal daripada kapal simpanan LNG (LBV) pertama Petronas, MV Avenir Advantage ke kapal SIEM Aristotle menerusi kerjasama syarikat peneraju penyedia penyelesaian simpanan LNG, Titan LNG yang beroperasi di Eropah.

Katanya, penyelesaian simpanan LNG terbaharu itu sebahagian daripada rangkaian penyelesaian tenaga bersih syarikat dalam memenuhi keperluan pelanggannya.

Menurut Petronas, ia termasuk penyelesaian sistem paip maya untuk menghantar LNG kepada pelanggan luar grid di Semenanjung yang dilancarkan pada September 2020.

“Di bawah jenama Petronas Marine, MV Avenir Advantage seluas 7,500 meter padu akan menawarkan perniagaan simpanan LNG bagi mempromosikan penggunaan LNG sebagai bahan bakar marin yang lebih bersih.

“Ini juga akan menjadi LBV pertama khusus buat pelanggan di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kejayaan terbaharu Petronas itu, Naib Presiden Eksekutif Petronas, Adnan Zainal Abidin berkata, kemudahan LBV dan lokasi strategik yang dimiliki di Pengerang, Johor serta Sungai Udang, Melaka telah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab simpanan LNG menyediakan penyelesaian tenaga bersih yang boleh dipercayai dan menjimatkan.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Tenaga Baharu Petronas berkata, LBV Petronas itu juga dapat beroperasi sebagai pembawa LNG untuk penghantaran ke pusat permintaan gas yang tidak dapat diakses kapal LNG konvensional besar.

“Perniagaan simpanan LNG Petronas juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap kelestarian dan menyokong pelaksanaan peraturan Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) 2020.

“Sebagai rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif, pelanggan tetap menjadi nadi penting menerusi semua yang kami lakukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN