Petronas sasar sifar pelepasan karbon 2050 - Utusan Malaysia

Petronas sasar sifar pelepasan karbon 2050

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengumumkan hasratnya untuk mencapai Sifar Pelepasan Karbon Bersih (NZCE) menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya terhadap kelestarian bagi mengimbangkan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

Hal demikian juga selaras dengan tujuan penyataan syarikat iaitu menjadi ‘rakan penyelesaian dan tenaga progresif yang memperkaya kehidupan untuk masa depan lestari’.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas mengambil peranan dalam menyediakan akses tenaga berpatutan, selamat dan mapan kepada perniagaan serta masyarakat.

Menurut Tengku Muhammad Taufik, ia amat penting lebih-lebih lagi ketika seluruh dunia menghadapi pelbagai cabaran disebabkan peralihan tenaga.

“Syarikat ini sentiasa komited untuk memenuhi matlamat menyediakan tenaga dan penyelesaian bersih yang memberi manfaat bukan sahaja kepada dunia yang kita diami tetapi juga pelanggan kami menerusi pengurangan pelepasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aspirasi NZCE menjelang 2050 itu dipacu oleh empat komponen daripada Agenda Kelestarian Petronas yang menunjukkan komitmen jangka panjang syarikat.

Empat komponen tersebut adalah meneruskan penciptaan nilai, melindungi alam sekitar, impak sosial positif dan tadbir urus bertanggungjawab di sepanjang rantaian nilai bersepadu Petronas.

Dengan sasaran yang ditetapkan pada tahun 2050, Petronas akan terus meningkatkan usaha untuk mengurangkan Skop 1 dan 2 pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) daripada aset-asetnya dengan memberikan peningkatan berpanjangan dalam kecemerlangan operasi dan menerapkan operasi inovatif serta teknologi.

Menerusi inisiatif tersebut, Petronas menyatakan hasrat untuk meneroka peluang baharu bagi mencipta pendapatan melalui pelaburan dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi di samping mewujudkan kebolehcapaian lebih besar bagi penyelesaian tenaga bersih.

Bagi memenuhi aspirasi baharu itu, Petronas juga telah melancarkan kedudukan jenama baharu, Bersemangat mengenai Kemajuan yang menunjukkan komitmen syarikat bagi meneruskan pembinaan penyelesaian lestari, progresif dan kemajuan.

Petronas menjelaskan kedudukan jenama baharu itu mencerminkan perjalanan pertumbuhan dinamik syarikat dan aspirasinya bagi mencapai tahap lebih baik menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan, pelanggan dan rakan kerjasama.

“Dalam mengharungi cabaran dalam peralihan tenaga global, Petronas terus bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi untuk memberikan penyelesaian yang menjamin kesejahteraan bersama dan pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN