Petronas agih RM10b dividen tambahan - Utusan Malaysia

Petronas agih RM10b dividen tambahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Na­sional Berhad (Petronas) dilapor telah meluluskan agihan pembayaran dividen tambahan berjumlah AS$2.4 bilion (RM10 bilion) kepada kerajaan bagi memerangi penularan pandemik Covid-19.

Pembayaran dividen tambahan itu hadir sehari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, syarikat minyak dan gas nasional itu akan menyerahkan RM34 bilion dividen kepada kerajaan Persekutuan tahun ini.

Menurut laporan Reuters, Petronas yang mengalami kerugian sebanyak RM21 bilion pada suku kedua tahun ini, pada awalnya berjanji untuk membayar RM24 bilion dan mengatakan sebarang penambahan dana bergantung kepada kemampuannya.

Petronas memberitahu telah menyatakan persetujuan pembayaran dividen tambahan itu yang akan disalurkan menje­lang penghujung November ini bagi menghadapi cabaran Co­vid-19 yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Tambah Petronas, syarikat itu juga telah membayar sepenuhnya jumlah yang dijanjikan sebelum ini.

“Dalam menentukan sama ada dividen tambahan ini mencukupi, Lembaga Pengarah Petronas sendiri yakin bahawa syarikat itu dapat membiayai operasinya dengan selesa, membayar hutang dan meme­nuhi kewajipannya di samping melabur dalam pertumbuhan masa hadapan.

“Petronas tetap tegas dalam usaha mengekalkan aliran tunai dan mengukuhkan daya tahan kewangan selama ini,” katanya dalam laporan itu.

Sumber Peteronas ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan memberi sebarang ulasan berhubung laporan itu.

Pengumuman bayaran dividen tambahan itu keluar dalam tempoh kerajaan sedang bersiap sedia membentangkan Belanjawan 2021 yang bertujuan mengurangkan impak ekonomi akibat Covid-19, Jumaat ini.

Mustapa dalam jawapan bertulis ketika sesi Dewan Rakyat kelmarin memberitahu, Petro­nas akan membayar dividen sebanyak RM34 bilion kepada kerajaan tahun ini meskipun mencatatkan kerugian pada suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, sejak penu­buhannya pada 1974, Petronas telah membayar RM488 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen.

Ahli Parlimen Jeli itu menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada Petronas akan tetap memberi dividen kepada kerajaan tahun ini setelah mencatatkan kerugian RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya