Petron untung RM98 juta - Utusan Malaysia

Petron untung RM98 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd. (Petron) menyaksikan prestasi kukuh dalam suku ketiga 2020 apabila memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM98 juta berbanding kerugian RM69 juta pada suku sebelum ini.

Menurut Petron dalam kenyataan, pemulihan sangat baik itu didorong oleh peningkatan terhadap harga minyak dan permintaan.

Petron memberitahu, syarikat itu berjaya menjual 7.7 juta tong pada suku ketiga iaitu 28 peratus lebih tinggi berbanding suku sebelumnya berikutan kelonggaran pergerakan dalam aktiviti ekonomi dan mobiliti melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Walau bagaimanapun, Petron berkata, hasil syarikat pada suku ketiga berada pada kadar RM1.7 bilion penyusutan daripada RM2.8 bilion tahun lalu akibat permintaan lemah dan harga minyak yang rendah.

“Minyak mentah Brent meningkat sebanyak 48 peratus kepada purata AS$43 (RM176.24) satu tong pada suku ketiga daripada AS$29 (RM118.86).

“Meskipun begitu, apabila dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun 2019, tanda aras harga minyak mentah adalah 31 peratus lebih rendah disebabkan oleh permintaan minyak global yang lemah akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan itu.

Petron memberitahu, keuntungan kasar syarikat meningkat 54 peratus kepada RM152 juta daripada RM99 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan keuntungan inventori bersih.

Langkah penjimatan kos yang dilaksanakan juga telah membolehkan Petron mengurangkan kerugian bersih RM153 juta pada separuh tahun pertama kepada hanya RM55 juta dalam tempoh sembilan bulan.

“Syarikat berharap dapat mengekalkan prestasi positif dengan terus melaksanakan langkah untuk mengelakkan kerugian inventori selanjutnya dan meneruskan penjimatan kos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN