Pertama Digital lantik dua Ahli Pengarah baharu - Utusan Malaysia

Pertama Digital lantik dua Ahli Pengarah baharu

Suhazimah Dzazali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Sabri Ab. Rahman

KUALA LUMPUR: Syarikat pegangan pelaburan, Pertama Digital Berhad mengumumkan pelantikan dua ahli lembaga pengarah baharu dalam usaha menghadapi cabaran ruang digital dan mudah alih yang berkaitan dengan perkhidmatan e-kerajaan. 

Dua ahli Lembaga Pengarah baharu yang dilantik itu adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Ts. Dr. Suhazimah Dzazali dan Pengarah Eksekutif, Sabri Ab. Rahman. 

Menurut Pertama Digital, Suhazimah memiliki pengalaman hampir 35 tahun dalam perkhidmatan awam dengan jawatan terakhirnya adalah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (ICT) atau Ketua Pegawai Informasi dalam Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri. 

Katanya, Suhazimah juga pernah berkhidmat sebagai Perunding ICT Sektor awam dan bertanggungjawab dalam beberapa program transformasi termasuk pengkomputeran serta modenisasi Jabatan Imigresen. 

“Beliau telah diiktiraf sebagai satu daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia dalam bidang digital kerajaan pada tahun 2019 dan juga ‘Profesional Keselamatan Maklumat’ pada tahun 2013 oleh Cyber Security,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pertama Digital berkata, Sabri mempunyai pengalaman luas dalam beberapa industri termasuk perbankan dan kewangan, automotif, pengiklanan, program televisyen dan produksi serta pengedaran program televisyen. 

“Beliau juga pernah terlibat secara aktif dalam pembangunan pengoperasian televisyen swasta sejak penubuhan TV3 dan turut terlibat dalam menggabungkan Kumpulan TV3 ke dalam Media Prima Berhad pada 2000. 

“Dalam tahun yang sama, Sabri telah menubuhkan DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. yang kini merupakan syarikat dalam Kumpulan Pertama Digital untuk mengembangkan perkhidmatan kerajaan melalui teknologi mudah alih,” katanya. 

Pelantikan kedua-dua tokoh tersebut merupakan usaha terbaharu Pertama Digital secara serius dalam bidang ruang digital dan mudah alih selepas beralih daripada perniagaan tekstil di samping bertukar nama daripada Sinotop Holdings Berhad. 

April lalu, Pertama Digital mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi sebagai Pengarah syarikat. 

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa Zaki sebenarnya seorang yang celik teknologi maklumat (IT) dan cekap menggunakan teknologi terkini. 

“Beliau bersemangat tinggi untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan melalui pendigitalan,” jelas syarikat itu.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN