KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) terus mengekalkan prestasi cemerlang apabila sekali lagi memecahkan rekod jualan bulanan selepas mencatatkan sebanyak 26,852 unit kenderaan pada bulan Oktober.
Hal demikian sekali gus memecahkan rekod jualan bulanan sepanjang sejarah Perodua berjumlah 25,035 unit yang direkodkan bulan sebelumnya.
Dalam masa yang sama, tiga model keluaran Perodua kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia setakat tahun ini selepas berjaya menjual 8,052 model Myvi; 6,738 Axia dan 6,895 Bezza.
Dua lagi model Perodua iaitu Aruz dan Alza masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 3,193 dan 1,974 unit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kejayaan memecahkan rekod jualan itu penting sekali gus membuktikan komitmen syarikat itu terhadap penghantaran secepat mungkin dan perana dalam memulihara ekosistem automotif.
Katanya, Perodua telah membelanjakan sebanyak RM600 juta bulan lalu untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi kepada ekosistem automotif tempatan yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Dari segi kapasiti pengeluaran, kami berada di 98 peratus secara purata pada bulan Oktober dengan 26,362 kenderaan yang juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi daripada kilang kami di Sungai Choh, Rawang.
“Kejayaan ini dicapai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diikuti oleh setiap kakitangan dan rakan niaga kami termasuk bekerja dari rumah serta ujian mandatori bagi mereka yang berada di zon merah bersama dengan SOP asal yang diperkenalkan Mei lalu.
“Dengan komitmen para pembekal dan pengedar-pengedar sah, kami dapat menjual lebih banyak kenderaan serta paling penting memastikan kepuasan pelanggan kerana kenderaan mereka dihantar dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN