Perdagangan borong, runcit catat RM110.8b - Utusan Malaysia

Perdagangan borong, runcit catat RM110.8b

Peningkatan jualan kenderaan bermotor membantu nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada September 2020. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara bagi September 2020 merekodkan pertumbuhan 0.2 peratus kepada RM110.8 bilion iaitu pertama kali sejak penularan Covid-19.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, pemacu pertumbuhan itu adalah sektor kenderaan bermotor yang melonjak 17.1 peratus berbanding September 2019.

Katanya, perdagangan runcit turut kembali ke landasan positif dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.1 peratus.

Walau bagaimanapun, perdagangan borong masih merekodkan pertumbuhan negatif 4.2 peratus  dengan nilai jualan bulan ke bulan menguncup 0.6 peratus berbanding Ogos, sebahagiannya disebabkan peningkatan semula kes Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan.

“Bagi subsektor kenderaan bermotor, jualan kenderaan bermotor memacu pertumbuhan 34.8 peratus tahun ke tahun untuk mencapai jualan RM7.9 bilion.

“Ini diikuti jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dengan nilai jualan RM1.1 bilion, meningkat 9.4 peratus.

“Sebaliknya, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor menguncup 2.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu untuk merekodkan RM1.5 bilion. Jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor turut susut 3.1 peratus kepada RM3.1 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan positif 1.1 peratus disumbangkan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan sebanyak 7.6 peratus kepada RM16.1 bilion tahun ke tahun.

Ia diikuti jualan runcit makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 8.2 peratus kepada RM2.7 bilion, manakala jualan runcit peralatan isi rumah berkembang 1.1 peratus kepada RM5.9 bilion, diikuti jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar yang naik 9.2 peratus kepada RM400 juta.

Jualan runcit di gerai dan pasar turut merekodkan pertumbuhan positif 8.2 peratus kepada RM100 juta. manakala jualan produk bukan keutamaan masih merekodkan pertumbuhan negatif dengan jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi menguncup tujuh peratus, jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (-9.9 peratus) dan jualan runcit di kedai pengkhususan (-1.2 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, subsektor perdagangan borong, jatuh 4.2 peratus pada bulan dilaporkan disebabkan lain-lain pengkhususan jualan borong dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran yang masing-masing merosot 14.2 dan 8.3 peratus.

Beliau berkata, jualan borong makanan, minuman dan tembakau bagaimanapun meningkat 4.2 peratus kepada RM10.4 bilion, diikuti jualan borong barangan isi rumah yang naik 3.4 peratus kepada RM11.2 bilion, sementara jualan borong jentera, peralatan dan bekalan berkembang 1.9 peratus tahun ke tahun untuk menjana jualan sebanyak RM4.7 bilion.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan yang mencatatkan pertumbuhan negatif 0.6 peratus, ia disebabkan perdagangan runcit -2.5 peratus atau kurang RM1.2 bilion.

“Kenderaan bermotor turut susut RM100 juta atau -0.8 peratus pada tempoh sama tetapi perdagangan borong menokok 1.2 peratus atau pertambahan RM600 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya