Penjualan ekuiti asing cecah RM246.3j - Utusan Malaysia

Penjualan ekuiti asing cecah RM246.3j

BURSA Malaysia Derivatives mencatat rekod dagangan tertinggi tahun lalu, sebahagian besar disumbang oleh institusi asing. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bursa saham negara mencatatkan penjualan ekuiti asing mencecah RM246.3 juta dalam sesi dagangan minggu lalu.

Jangkaan aliran masuk asing positif disebabkan pembentangan Belanjawan 2021 tidak menjadi kenyataan apabila momentum penjualan Selasa lalu melebihi aliran masuk bersih pada hari Khamis dan Jumaat.

Menurut MIDF Research, pelabur asing membeli RM3.53 juta ekuiti tempatan sebaik sahaja pasaran dibuka Isnin minggu lalu dengan pembelian turut diikuti oleh peruncit pada kadar RM39.52 juta manakala institusi tempatan menjual RM43.05 juta.

Institusi penyelidikan itu memberitahu, kedudukan tersebut bagaimanapun berubah apabila aliran keluar paling tinggi dicatatkan pada hari Selasa pada kadar RM332.97 juta diikuti RM7.49 juta pada hari Rabu sementara aliran masuk tertinggi direkodkan sebanyak RM87.25 juta pada Khamis.

“Setakat ini, pelabur asing telah menjual RM23.13 bilion ekuiti tempatan dalam pasaran saham negara dengan Malaysia mengalami aliran keluar terbesar berbanding tiga pasaran Asia Tenggara minggu lalu manakala Thailand merekodkan aliran masuk paling tinggi.

“Dari segi penyertaan, peruncit mencatatkan pembelian RM129.08 juta ekuiti minggu lalu manakala institusi tempatan membeli RM117.24 juta dalam tempoh sama,” katanya dalam nota kajian.

MIDF Research berkata, aliran masuk positif yang dicatatkan peruncit juga adalah untuk minggu kelima berturut-turut sejak awal November dengan lonjakan kembali dua minggu lalu disebabkan sentimen berhati-hati.

“Kami menjangkakan momentum pembelian daripada peruncit akan kekal minggu hadapan didorong oleh perkembangan positif mengenai penemuan vaksin Covid-19,” katanya.

Setakat ini, pembelian bersih mencecah RM11.82 bilion hadir daripada peruncit manakala institusi tempatan mencatatkan pembelian RM10.94 bilion.

Bagi tempoh satu minggu, pelabur runcit merekodkan peningkatan mingguan pada kadar 19.17 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dengan lonjakan itu turut dirasai pelabur asing sebanyak 83.68 peratus dan institusi tempatan berjumlah 61.11 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya