KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan peningkatan skim penipuan firma klon yang meningkat ketara tahun ini.
Menurut SC, skim penipuan oleh syarikat palsu itu menyamar sebagai entiti yang sah, termasuk menyalahguna nama dan logo syarikat awam tersenarai (PLC) untuk memperdaya pelabur dan mendapatkan dana daripada mereka.
Jelasnya, firma-firma klon itu menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud termasuk dalam bentuk saham PLC, dengan menjanjikan pulangan yang tidak munasabah dalam jangka masa singkat.
“Skim penipuan klon terkini termasuk PLC dalam sektor perubatan, sarung tangan dan hartanah yang telah menarik minat pelabur semasa pandemik Covid-19.
“Entiti yang terlibat telah membuat laporan polis dan membuat aduan kepada SC mengenai pengklonan identiti korporat mereka oleh individu atau organisasi yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelas SC, selain nama dan logo PLC, penipu berkenaan menggunakan bukti kelayakan korporat, laman sesawang dan butiran lain entiti yang sah ketika mempromosi skim ini melalui saluran media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter.
“Mangsa kebiasaannya diarahkan untuk memberi maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan butiran bank serta akan diminta memindahkan dana ke dalam akaun bank peribadi penipu tersebut.
“Setelah itu, penipu akan meminta mangsa untuk memberikan lebih banyak wang kononnya untuk pembayaran cukai pendapatan, yuran pentadbiran, caj bank, yuran pengeluaran atau kadar pertukaran,” katanya.
SC turut mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko dan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen dan sah. – UTUSAN