NCER tarik pelaburan RM15.5 bilion - Utusan Malaysia

NCER tarik pelaburan RM15.5 bilion

Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA Ke-24 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya melepasi sasaran pelaburan tahun ini apabila mencatatkan pelaburan sebanyak RM15.5 bilion, lebih sekali ganda daripada sasaran awal sebanyak RM7 bilion.

Menurut kenyataan NCIA, sasaran mewujudkan peluang pekerjaan juga berjaya mencatatkan lebih 23,000 pekerjaan berbanding sasaran awal sebanyak 5,900 pekerjaan.

Jelasnya, pencapaian itu hasil daripada insentif rangsangan perniagaan yang kukuh dan struktur cukai menarik yang
telah diperkenalkan sebelum ini.

“Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara dijangka akan turun sebanyak empat peratus tahun ini akibat pandemik Covid-19, NCIA telah berjaya melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif strategik berpandukan Pelan Pembangunan Strategik Koridor Utara (SDP) 2021-2025 untuk mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap sosioekonomi rakyat. Ekonomi NCER diunjurkan akan kembali pulih ke tahap pra pandemik pada tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kejayaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menarik pelaburan dalam tempoh yang mencabar ini adalah bukti ketahanan ekonomi negara.

Jelasnya, rakyat akan dapat merasakan pemulihan sosioekonomi mulai tahun hadapan melalui fokus dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D), digitalisasi dan penubuhan Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu.

Dalam pada itu NCIA memaklumkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA Ke-24 yang diadakan awal hari ini.

Mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai status dan kemajuan pelbagai projek dan program modal insan yang dilaksanakan di negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Tambah NCIA lagi, sebanyak 16 syarikat bumiputera telah memberi komitmen pelaburan hampir RM500 juta dan 750 peluang pekerjaan diwujudkan di bawah program Dana Usahawan Bumiputera (DUB) hingga akhir Oktober.

Selain itu, inisiatif NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) juga telah berjaya memberi peluang pekerjaan kepada lebih 1,200 graduan yang menganggur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, keutamaan NCIA pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan SDP demi membantu meringankan beban rakyat yang sedang berdepan suasana ekonomi yang tidak menentu.

“Kejayaan pelbagai projek, inisiatif serta program modal insan NCIA akan menjadi pemangkin untuk NCER menjadi wilayah ekonomi dan pusat teknologi bertaraf dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN