MRTE labur RM50 juta bina Akademi RPA - Utusan Malaysia

MRTE labur RM50 juta bina Akademi RPA

Badrul Hisham Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MRTE (M) Sdn. Bhd., penyedia teknologi automasi proses robotik (RPA) bercadang untuk melabur sehingga RM50 juta bagi membangunkan sebuah Akademi RPA menje­lang penghujung tahun hadapan dalam usaha menjadi peneraju teknologi itu di ASEAN.

Menurut Pengarah Urusan MRTE, Datuk Badrul Hisham Ramli (gambar), teknologi RPA masih dianggap baru di Malaysia dan dalam usaha memperluas kesedaran mengenai perkara itu, kewujudan Akademi RPA sekurang-kurangnya mampu menyediakan pelajar pada masa hadapan.

Katanya, akademi tersebut bakal dibina sama ada di Cyberjaya atau Putrajaya dijangka membuka sekurang-kurangnya 2,000 pekerjaan baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, pembinaan Akademi RPA adalah membabitkan sebanyak 70 peratus pembiayaan institusi perbankan manakala baki 30 peratus lagi menerusi dana dalaman syarikat.

“Dalam era teknologi ketika ini, penting bagi kita mendalami sistem RPA ini dengan kami menyasarkan pengambilan pelajar sekurang-kurangnya 2,000 setahun.

“Kami juga telah mengemukakan ccadangan kepada institut pengajian tinggi bagi menawarkan kursus jangka pendek terutama kepada pelajar daripada beberapa jurusan terma­suk perniagaan, kewangan dan sains komputer bagi mempelajari tentang RPA.

“Penubuhan Akademi RPA ini adalah usaha kami bagi mewujudkan tenaga kerja baharu yang amat diperlukan pasaran terutama dalam sektor teknologi,” katanya dalam sesi taklimat media secara maya baru-baru ini.

RPA merupakan perisian perniagaan berteraskan teknologi robotik atau dikenali sebagai robot maya atau kesedaran maya.

RPA mampu merevolusikan operasi sesebuah organisasi dengan mengautomasikan tugasan kerja harian seperti mana teknologi robotik dalam sektor perkilangan.

Aplikasi RPA merangkumi pelbagai sektor dan industri termasuk sektor awam, perbankan, telekomunikasi, pengangkutan, perubatan, pendidikan dan banyak lagi.

Mengulas mengenai prospek perniagaan, Badrul Hisham menjelaskan, RPA yang dibangunkan MRTE sejak 26 bulan lalu membabitkan tiga fasa dengan kos menjangkau RM10 juta itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan kebiasaannya teknologi tersebut dibangunkan syarikat besar dengan kos berbilion ringgit.

Buat masa ini, beliau berkata, MRTE telah pun mengemukakan cada­ngan kepada kerajaan bagi menggunakan teknologi RPA yang diyakini mampu memberi impak besar dari segi hasil pendapatan kerajaan.

“Kami juga akan me­laksanakan dua projek perintis iaitu kepada dua syarikat swasta masing-masing dalam sektor logistik dan bekalan air bagi mengguna pakai teknologi RPA.

“Kami juga menerima permintaan daripada pelbagai syarikat di Amerika Syarikat (AS) namun buat masa ini kami tolak kerana mereka mahu memiliki terus hak cipta. Lagi pun, kami mahu ia digunakan di Malaysia dahulu terutama pihak kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya