MPOB menang tiga emas di ITEX 2020 - Utusan Malaysia

MPOB menang tiga emas di ITEX 2020

AHMAD PARVEEZ GULAM KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merangkul tiga pingat emas dan satu pingat perak bagi inovasi hasil penyelidikan di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Telnologi Antarabangsa (ITEX) 2020.

Inovasi yang memenangi pingat emas ialah Sawitsecure: Aplikasi Kit Utiliti Pelan Biosekuriti Sawit oleh Dr. Mohd. Hefni Rusli; teknologi PhyM: Kaedah Diagnostik Untuk Mengesan Pemusnah Tumbuhan, Phytophthora oleh Dr. Maizatul Suriza Mohamed dan Siri Klon Sawit 3 (CPS3): Produktiviti Untuk Kelestarian oleh Siti Rahmah Abdul Rahman.

Pingat perak pula dimenangi TrichoShield: Satu Pengawalan Holistik bagi Penyakit Ganoderma Reput Pangkal Batang Pokok Sawit oleh Dr. Shamala Sundram.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pencapaian MPOB bukan sahaja memberi manfaat kepada industri sawit malah kepada usahawan tempatan.

“Kejayaan teknologi MPOB di ITEX 2020 membuktikan teknologi dan inovasi yang dibangunkan memberi impak kepada industri sawit serta peluang pengkomersialan teknologi kepada usahawan tempatan,” katanya.

ITEX 2020 diadakan di Kuala Lumpur pada 20 dan 21 November lalu.

Sawitsecure yang memenangi pingat emas adalah aplikasi pengurusan risiko biosekuriti dan pelan tindak balas kecemasan untuk industri sawit Malaysia.

Aplikasi itu membolehkan arahan dan panduan kepada pihak terlibat dalam industri sawit dalam tindakan pencegahan, tindak balas kecemasan dan pengurusan serangga perosak.

CPS3 pula dibangunkan bagi memenuhi aspirasi peningkatan produktiviti minyak sawit negara dan pertanian lestari.

Melalui inovasi tersebut, MPOB berjaya menghasilkan 11.3 tan minyak sawit per hektar berbanding 8.6 tan per hektar setahun untuk bahan penanaman komersial terbaik.

Satu lagi inovasi yang memenangi pingat emas ialah penanda diagnostik molekul ringkas dan cepay (PhyM Marker) yang membolehkan diagnostik spesies Phytophthora yang memusnahkan tumbuhan menggunakan kaedah penguat isotermal perantaraan gelung.

Ia turut menawarkan teknologi pantas, mudah dan mantap untuk menyaring pencemaran patogen pada sampel tanaman seperti kelapa sawit, kelapa, getah, koko, durian dan sayur-sayuran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN