MPOB hasilkan coklat cair sawit untuk inti kuih bulan   - Utusan Malaysia

MPOB hasilkan coklat cair sawit untuk inti kuih bulan  

Kuih bulan kontemporari yang dihasilkan oleh penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Teknologi digunakan MPOB menghasilkan tekstur halus dan inti coklat cair yang lazat dengan bahagian luar kuih bulan yang rangup.

KUALA LUMPUR: Penyelidikan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menghasilkan formulasi coklat cair berasaskan minyak sawit sebagai inti kuih bulan kontemporari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kuih itu.

Teknologi MPOB merumuskan formulasi inti coklat dalam kuih bulan menggunakan minyak sawit itu adalah untuk mengekalkan kecairan inti coklat di dalam kuih berkenaan. 

Formulasi tersebut menghasilkan tekstur halus dan inti coklat cair yang lazat dengan bahagian luar yang rangup malah dengan teknologi itu juga dapat membantu mencegah kuih bulan daripada pecah, bocor dan berubah bentuk walaupun mempunyai inti yang cair dan lembut.

Ketua Pasukan Penyelidik MPOB, Niu Yueting berkata, sekumpulan penyelidik telah melakukan kajian untuk mendapatkan formulasi yang sesuai bagi menghasilkan inti coklat cair berasaskan sawit untuk kuih bulan di Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit MPOB (PORTSIM) di Shanghai, China. 

“Penyelidikan ini juga dengan kerjasama Universiti Xihua dan Zhengzhou Milikang Food Co. Ltd. telah selesai dalam tempoh 18 bulan dari Januari 2018 hingga Jun 2019.

“Antara bahan yang digunakan untuk inti coklat cair berasaskan sawit adalah minyak sawit, serbuk koko, pengemulsi dan tepung susu.  Analisa dari segi rasa dan tekstur juga dilakukan untuk mendapatkan kuih bulan yang berkualiti. 

“Dengan menggunakan formulasi ini, bahagian luar kuih bulan juga dapat dikekalkan supaya sentiasa rangup dan tidak melembut. Tanpa teknologi ini, minyak daripada inti kuih bulan akan menyerap ke bahagian kulit kuih bulan dan menjadikan kuih itu lembik,” katanya.

Menurut Persatuan Industri Makanan China, negara itu mencatatkan jumlah penjualan kuih bulan sebanyak RMB1.38 bilion bernilai RMB19.67 bilion (anggaran RM12.25 bilion) pada 2019.

Jelas Niu, inovasi MPOB itu dapat meningkatkan permintaan minyak sawit dari China bagi kegunaan penyediaan produk tersebut dan inovasi tersebut juga telah dikomersialkan oleh dua syarikat di China.

“Inovasi MPOB ini berpotensi besar untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembuatan kuih bulan kontemporari. 

“Rumusannya yang mengekalkan kecairan inti coklat kuih bulan dengan bahagian luarnya yang rangup memberi pengalaman baharu dalam menikmati produk yang popular itu,” katanya. 

Katanya, inti coklat cair sawit itu juga boleh digunakan dalam pembuatan pelbagai produk termasuk biskut dan roti.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN