KUALA LUMPUR: Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang akan bermula dari 18 hingga 24 November ini akan mempersembahkan barisan penceramah, personaliti terkenal dan jadual program.
Menurut Permodalan Nasional Berhad (PNB), pelbagai program akan disiarkan setiap hari antara 12.30 tengah hari dan 10.30 malam melalui Facebook dan saluran Youtube MSD.
Katanya, MSD yang menampilkan persembahan, program hibur didik dan bual bicara menarik bertujuan mempamerkan syarikat-syarikat pelaburan PNB.
“Ia juga mampu mendidik rakyat Malaysia daripada semua peringkat usia mengenai kepentingan pelaburan dan perancangan kewangan.
“Seluruh rakyat Malaysia dijemput mengambil bahagian dalam MSD menerusi platform digital yang tersedia dan mudah dilayari dengan slogan #Laburbersama,” katanya dalam kenyataan semalam.
MSD akan dirasmikan pada 19 November ini pada pukul 3 petang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sementara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat ucapan khas melalui video yang akan ditayangkan semasa acara pelancaran tersebut.
Tetamu kehormat lain yang dijangka turut hadir dalam majlis perasmian itu termasuk Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Antara program yang telah disusun MSD termasuk Pass the Mic! yang akan menampilkan Feeya Iskandar, Sissy Imann, Jiggy dan Alif Farhan sebagai hos di samping menjemput K Clique, Akim Ahmad, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Aman Ra untuk mengadakan konsert maya terbesar Malaysia secara langsung.
MSD turut mengetengahkan siri pelaburan dalam bidang kewangan, keusahawanan dan pelaburan dalam siri Asia School of Business-Iclif MBA Masterclass dengan penceramah bertaraf dunia seperti Prof. Melati Nungsari yang akan memperkenalkan konsep dan praktik strategi platform serta berbeza pada asasnya daripada strategi model perniagaan lain.
PNB turut menampilkan program Jumpa di 118 dengan Awal Ashaari sebagai pengacara yang menjemput Ketua Pegawai Pelaburan Harta Tanah PNB, Rick Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Tengku Datuk ‘Ab. Aziz Tengku Mahmud berbicara tentang perkembangan pembinaan ikonik dan memberikan gambaran lebih mendalam tentang Merdeka 118, menara yang bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia dan kedua di dunia. – UTUSAN