Memenuhi aspirasi rakyat - Utusan Malaysia

Memenuhi aspirasi rakyat

cukai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRA BELANJAWAN 2021

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen petang ini, boleh memenuhi aspirasi dan harapan rakyat jika kerajaan berani memberi peruntukan secukupnya kepada setiap golongan yang terjejas.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff berkata, bantuan juga perlu diberikan kepada golongan perniagaan yang turut menerima kesan buruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bagi memenuhi aspirasi dan harapan rakyat itu, kerajaan tidak boleh memikirkan defisit belanjawan yang bakal dihadapi berkemungkinan melebihi empat peratus.

“Saya menjangkakan Belanjawan 20201 akan berbentuk belanjawan pemulihan. Pada masa yang sama, belanjawan ini adalah belanjawan pengembangan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Belanjawan 2021 mempunyai tiga matlamat bertujuan untuk melindungi, memulih dan menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Tengku Zafrul sebelum ini menyatakan bahawa belanjawan tersebut lebih besar dalam usaha kerajaan menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Pada Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukan sejumlah RM277.5 bilion.

Bagi pembentangan belanjawan kali ini, Kementerian Kewangan telah menjalankan sesi libat urus di pelbagai peringkat dan hasilnya, lebih 6,000 cadangan telah dikemukakan kepada pihak kementerian untuk dipertimbangankan.

Penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup pada suku kedua sebanyak 17.1 peratus.

Malah, ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan menguncup sebanyak 4.5 peratus, sebelum dijangka pulih pada 2021, antara 5.5 hingga lapan peratus berdasarkan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.

Hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan menyaksikan, ekonomi menuju pemulihan dengan pasaran pekerjaan yang sebelum ini merekodkan kadar pengangguran yang tinggi semakin menunjukkan pemulihan apabila kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus pada Julai, selepas berada pada paras 4.9 peratus bulan sebelumnya. Dalam tempoh itu bilangan penganggur berkurangan kepada kepada 745,100 orang.

Dalam pada itu, menjelang pembentangan Belanjawan 2021, pasaran saham memberi reaksi positif apabila bursa ditutup lebih tinggi semalam melepasi 1,500 mata iaitu 1,501.49, meningkat 36.88 mata selepas dibuka pada 1,468.86 mata dengan nilai dagangan sebanyak 6.919 bilion.

Sebanyak 1,096 kaunter mencatatkan keuntungan, sementara 204 rugi, 288 tidak berubah dan 553 tidak diniagakan. Ringgit juga ditutup lebih kukuh berbanding dolar pada kadar 4.1525 berbanding 4.1635 kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya