MDEC harap Belanjawan 2021 sokong pendigitalan PKS, majukan bakat - Utusan Malaysia

MDEC harap Belanjawan 2021 sokong pendigitalan PKS, majukan bakat

SEBANYAK lebih 45,000 PKS dan mikro baharu telah mendaftar dengan pelbagai platform e-dagang dan sebanyak 115,000 PKS lagi mendapat manfaat menerusi kempen tersebut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berharap, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini turut memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan lagi sektor ekonomi digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, ekonomi digital ketika ini memainkan peranan penting dalam membantu negara yang sedang berusaha untuk pulih daripada pandemik Covid-19.

Beliau percaya, Kementerian Kewangan mempunyai tawaran menarik yang akan menyokong aspirasi MDEC untuk menjadikan negara ini sebagai Nadi Digital ASEAN yang mana kemakmurannya akan dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.

Katanya, MDEC memerlukan sokongan berterusan bagi menyokong tiga teras utamanya termasuk pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat pemula, tumpuan kepada pembangunan bakat digital untuk menjana pendapatan dan insentif yang menarik pelaburan digital termasuk sektor kandungan kreatif digital tempatan.

“Sebenarnya, pada tahun ini, Kementerian Kewangan dan MDEC telah bekerjasama untuk merancakkan sektor e-dagang di negara ini melalui dua inisiatif, iaitu `Shop Malaysia Online’ PENJANA dan Kempen e-Dagang bagi PKS
serta usahawan mikro, yang mana kedua-duanya telah meraih jualan lebih RM1.2 bilion.

“Sudah pasti kita mengharapkan jalinan ini diperkukuhkan menerusi perincian Belanjawan 2021 akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Surina, usaha pendigitalan PKS tempatan dan usahawan mikro sangat penting kerana sektor berkenaan merupakan tulang belakang ekonomi negara yang mewakili hampir 90 peratus perniagaan domestik, seterusnya menjana peluang pekerjaan.

Dalam bidang pembangunan bakat pula kata beliau, MDEC merancang untuk meneruskan program-program seperti inisiatif #mydigitalmaker, Pembangunan Modal Insan Ekonomi Digital, Memupuk Jaguh Tempatan Menghasilkan Kandungan Digital, Tenaga kerja Dalam Talian Global atau GLOW Global Online Workforce (GLOW) dan e-Rezeki yang memberi peluang kepada rakyat
menjana pendapatan secara dalam talian.

“Usaha berterusan ini akan memperkasa cita-cita Malaysia untuk menjadi hab pelaburan digital dan sebagai batu loncatan untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.

“Ketika ini, pelbagai perkhidmatan perniagaan global berasaskan digital dan platform ekosistem data telah memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi serantau mereka. Ia sekali gus telah mengesahkan status Malaysia sebagai hab serantau berteknologi tinggi dan pengembangan inovasi yang menarik,” tambah beliau.

Surina berkata, bagi sektor pelaburan digital, MDEC berharap kerajaan akan terus menyokong pelbagai inisiatif digital yang terus menarik pelaburan digital terutamanya Inisiatif Pembangunan Industri Untuk Kandungan Digital Malaysia (My Digital Content) yang dijangka dapat meningkatkan aktiviti dan nilai tambah rantaian nilai kandungan digital industri tempatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN