KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menyasarkan kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi 2021 mencecah RM143.9 bilion.
Dalam masa yang sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, unjuran kutipan cukai tahun ini adalah sebanyak RM127 bilion.
Beliau berkata, agenda kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara tidak akan dapat direalisasikan sekiranya tiada sumber kewangan mencukupi.
Katanya, keupayaan LHDN untuk beroperasi dengan efektif dan berkesan dalam memungut hasil negara sudah pasti memudahkan kerajaan merealisasikan agenda pemulihan dan pembangunan negara seperti digariskan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Fungsi serta peranan LHDN sangat penting bagi memastikan kutipan cukai sentiasa berada di tahap optimum, walaupun aktiviti pemungutan dalam situasi pandemik Covid-19 ini begitu mencabar demi mengimbangi kesusahan yang dihadapi peniaga terjejas dan tanggungjawab sebagai pentadbir cukai.
“Oleh yang demikian, saya menyeru semua warga kerja LHDN untuk terus melaksanakan tugas bagi memastikan kerajaan mempunyai dana mencukupi untuk membiayai perbelanjaan negara,” katanya berucap di Hari Inovasi dan Integriti LHDN secara maya semalam.
Awal tahun ini, Kementerian Kewangan dilaporkan menyasarkan peningkatan kutipan cukai sebanyak lima peratus kepada RM155 bilion daripada RM147 bilion tahun lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Cukai) LHDN, Datuk Mohd. Nizom Sairi dilaporkan berkata, semakan semula kutipan cukai 2020 dilaksanakan mengambil kira kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada pendapatan individu dan perniagaan.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, objektif utama kerajaan untuk meringankan beban kewangan rakyat dalam menghadapi Covid-19 telah diterjemahkan melalui pengurangan kadar cukai pendapatan, kenaikan had pelepasan serta perluasan skop pelepasan cukai pendapatan, pengecualian duti setem transaksi tertentu dan pemberian galakan cukai kepada syarikat secara bersasar.
Katanya, langkah-langkah tersebut tanpa pengenalan cukai baharu merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara. – UTUSAN