KUANTAN: Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Komakmur) merekodkan hasil jualan mencecah RM80 juta setahun menerusi empat cawangan kedai emas yang dimilikinya.
Pengerusi Komakmur, Hishamuddin Abdullah berkata, empat cawangan berkenaan adalah di sini, Kuala Terengganu, Terengganu; Bangi, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan.
“Pencapaian luar biasa ini adalah pemangkin kepada Komakmur untuk terus melonjak ke peringkat seterusnya.
“Usaha Komakmur tidak terhenti di situ sahaja, malah kita berjaya memiliki sebuah pasar raya halal di Indera Sempurna, di sini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kursus E-Rahn yang disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh di sini, semalam.
Komakmur ditubuhkan pada 26 Januari 2018 dan kini mempunyai seramai 1,165 ahli serta jumlah modal syer sebanyak RM11 juta.
Hishamuddin berkata, Komakmur mempunyai kilang emas yang memenuhi standard dan piawaian ditetapkan terletak di Kota Bharu.
“Di kilang itu, kita mempunyai lebih 30 tukang emas yang semuanya terdiri daripada anak-anak muda Melayu kreatif dan inovatif dalam menghasilkan reka bentuk barang kemas,” katanya.
Jelasnya, Komakmur merancang mengembangkan rangkaian perniagaannya melalui pasar emas secara dalam talian dengan sasaran 20,000 pemilik.
“Usaha ini mendapat sambutan baik apabila institusi pendidikan iaitu politeknik telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk para penuntutnya menjadi usahawan emas.
“Saya menyeru orang ramai yang berminat untuk bersama Komakmur menyertai program kedai emas secara dalam talian di mana Komakmur menyediakan modal bagi mereka yang berminat, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE