KUALA LUMPUR: Generasi milenial (berumur antara 25 ke 44 tahun) adalah generasi yang paling cakna tentang simpanan dan sasaran kewangan jangka panjang di Malaysia, menurut Kaji Selidik Global Standard Chartered.
Kaji selidik itu melibatkan 12,000 orang dewasa dalam 12 pasaran ekonomi dunia termasuk Malaysia, India, Hong Kong, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) untuk melihat kesan pandemik Covid-19 terhadap gaya hidup pengguna.
Menurut kajian itu, 34 peratus daripada milenial Malaysia menyimpan untuk pembelian major seperti kereta atau rumah baharu, berbanding 20 peratus untuk mereka yang berumur 45 tahun dan ke atas.
Sementara itu, 45 peratus milenial Malaysia cuba untuk membuat simpanan lebih menjelang persaraan berbanding 44 peratus responden berumur 45 tahun dan ke atas yang berbuat demikian.
“Separuh daripada milenial Malaysia mahu menjejak perbelanjaan mereka, 61 peratus mahu ubah belanjawan untuk perbelanjaan harian dan 28 peratus mula menggunakan aplikasi pengurusan wang baharu sejak pandemik bermula.
“Separuh 62 peratus daripada mereka yang belum menggunakan aplikasi pengurusan wang bercadangan untuk berbuat demikian dalam tiga tahun akan datang,” kata kajian itu.
Selain itu, 340 peratus milenial Malaysia lebih cenderung memulakan tabung digital atau balang syiling berbanding responden berumur 45 tahun ke atas.
Menurut kaji selidik yang sama, semua itu berlaku ketika 74 peratus milenial berpendapat pengurusan wang menjadi semakin sukar sejak bermulanya pandemik Covid-19.
“Milenial 107 peratus lebih cenderung berasa tidak dapat mengawal baki dalam bank mereka berbanding mereka yang berumur 45 tahun ke atas.
“Sementara itu, 23 peratus melaporkan pinjaman mereka meningkat bulan lalu, berbanding 15 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 45 tahun ke atas,” katanya. – UTUSAN