Keuntungan TNB susut kepada RM2.41 bilion - Utusan Malaysia

Keuntungan TNB susut kepada RM2.41 bilion

TNB sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi membantu pembangunan negara dalam pelbagai aspek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai (PAT) Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyusut kepada RM2.41 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020.

Ia penguncupan sebanyak 37.5 peratus daripada jumlah RM3.86 bilion untuk tempoh sama tahun kewangan 2019.

Menurut syarikat itu, untung berkurangan disebabkan oleh penutupan perniagaan akibat Covid-19 yang menyebabkan kejatuhan jualan, selain impak Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 yang mene­lan RM595.1 juta serta kerugian tukaran mata wang asing (forex) tidak direalisasikan sebanyak RM174.3 juta.

“Kelembapan ekonomi di­sebabkan penutupan premis perniagaan fizikal, khususnya untuk sektor industri dan ko­mersial ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan jualan elektrik berkurang kepada 82,283.6 GWh pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020 berbanding 87,751.5 GWh pada tempoh sama tahun lalu.

“Pendapatan Kumpulan ber­kurang 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM33.65 bilion daripada RM38.76 bilion sebahagian besarnya disebabkan sumba­ngan lebih rendah anak syarikat dan pemulihan berlebihan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.48 bilion berbanding kedudukan pemulihan berlebihan tahun lalu pada RM2 bilion,” kata syarikat itu.

Amir Hamzah Azizan

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permintaan elektrik pada suku ketiga berakhir 30 September 2020 me­nyaksikan peningkatan, dengan permintaan maksimum pada suku itu mencecah 16,570 GWh hampir setara dengan permintaan maksimum untuk 2019 pada 16,894 GWh.

“Hasilnya, jualan dan kutipan secara beransur-ansur pulih. Kami akan terus memerhatikan trend tersebut memandangkan negara sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 ketika ini.

“Untuk tahun penuh, TNB menjangkakan penggunaan elektrik secara keseluruhannya menurun antara enam ke 10 peratus tahun ke tahun.

“Walau bagaimanapun, ia akan diserap perolehan daripada entiti pengehadan pendapatan terkawal yang dijamin pada pertumbuhan permintaan 1.8 peratus hingga dua peratus yang ditentukan oleh garis panduan Regulasi Berasaskan Insentif (IBR) pada tempoh regulatori kedua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN