Keuntungan S3 PCG RM1.16 bilion - Utusan Malaysia

Keuntungan S3 PCG RM1.16 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Projek Petronas Chemicals Group di Kompleks Bersepadu Pengerang Johor, dijadualkan bermula pada suku pertama tahun hadapan. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) bagi tempoh sembilan bulan berak­hir 30 September 2020 mencatatkan penurunan sebanyak 53 peratus kepada RM1.16 bilion daripada RM2.47 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagi perbandingan suku tahunan pula menyaksikan keuntungan selepas cukai PCG turut susut kepada RM471 juta antara Julai hingga September 2020 selepas merekodkan RM553 juta pada suku ketiga 2019.

Walau bagaimanapun, PCG dalam kenyataan memberitahu, prestasi operasi tersebut menyerlahkan momentum pemulihan kukuh pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melonjak daripada antara paras terendah pada suku kedua tahun ini.

Keputusan tersebut, kata PCG, didorong oleh harga produk petrokimia beransur pulih disebabkan kenaikan dalam industri pembuatan global serta pemulihan harga minyak mentah sekali gus me­ngurangkan tekanan pada margin keuntungan.

Perbandingan antara suku ketiga (S3) tahun ini dengan tempoh sama 2019 turut me­nyaksikan prestasi operasi te­rus kukuh dengan peningkatan jumlah pengeluaran dan kadar penggunaan loji yang lebih tinggi sebanyak 95 peratus.

“Pendapatan kekal stabil pada RM10.5 bilion walaupun turun sebanyak 13 peratus tahun ke tahun, sebahagian besar disebabkan harga produk lebih rendah akibat harga minyak mentah yang lemah dan permintaan petrokimia sedikit serta tahap penawaran tinggi.

“Margin perolehan sebelum faedah, percukaian, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot 23 peratus disebabkan mampatan margin produk didorong harga lebih rendah pada tahap RM2.4 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas prestasi tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, prestasi lebih kukuh pada S3 adalah hasil tumpuan berterusan kepada kecemerlangan operasi dan komersial yang memastikan kesediaan syarikat dalam merebut peluang sewaktu pemulihan pasaran.

Sazali memberitahu, PCG berada dalam posisi baik untuk meraih kelebihan daripada pembukaan semula ekonomi serantau dan penyambungan semula aktiviti pembuatan.

“Walaupun harga petrokimia dijangka meningkat selaras de­ngan momentum pemulihan, pengenalan semula langkah-langkah pembendungan Co­vid-19 mungkin memberi kesan.

“Untuk mengurangkan cabaran mendatang dan memastikan ketahanan, PCG akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, kecemerla­ngan komersial dan mengekalkan disiplin kewangan yang ketat,” katanya.

Mengenai rancangan pertumbuhan PCG, Sazali berkata, projek syarikat itu di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dijadualkan bermula pada suku pertama 2021.

“PIC akan meningkatkan kapasiti pengeluaran petrokimia kami sekitar 15 peratus kepada 14.6 juta tan metrik setahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya