Kerugian MSM Malaysia turun 61.5% - Utusan Malaysia

Kerugian MSM Malaysia turun 61.5%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Berhad mengumumkan kerugian selepas cukai bagi tiga bulan berakhir 30 September 2020 berjumlah RM71.21 juta, turun 61.5 peratus daripada RM185.10 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut MSM Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kerugian lebih rendah dalam suku tahunan dilaporkan adalah disebabkan margin keseluruhan lebih tinggi pada kadar 7.21 peratus di samping kos operasi rendah berbanding suku sama 2019.

Dalam masa yang sama, MSM Malaysia turut merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 11.8 peratus kepada RM594.55 juta antara Julai hingga September 2020, berbanding RM531.69 juta tempoh sama tahun lalu.

MSM Malaysia memberitahu, pendapatan lebih tinggi yang dicatatkan itu didorong oleh lonjakan volum jualan eksport dalam suku ketiga 2020.

“Unjuran bagi suku keempat 2020 kekal mencabar dengan gangguan ekonomi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19.

“Hal ini sekali gus menyebabkan kurangnya perjumpaan sosial dan membataskan perjalanan serta menyebabkan pengambilan gula negara ke tahap sebelum Covid-19 akan mengambil tempoh yang panjang.

“Bagi pasaran antarabangsa, penutupan pelabuhan destinasi eksport yang berlaku dalam suku sebelum ini telah kembali dibuka sekali gus membantu pendapatan eksport kumpulan,” katanya dalam makluman tersebut.

Bagi perbandingan suku ke suku, MSM Malaysia mencatatkan peningkatan 32 peratus pendapatan daripada RM448.74 juta dalam suku sebelumnya disebabkan peningkatan volum jualan keseluruhan.

Namun begitu, kerugian selepas cukai bagi tempoh tiga bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding RM21.55 juta dalam suku kedua 2020.

Dalam pada itu, MSM Malaysia terus komited dan yakin berada dalam landasan tepat bagi meningkatkan penggunaan kapasiti kilang MSM Johor yang akan mengurangkan kos pengeluaran dan melonjakkan margin.

“MSM Malaysia menjangkakan persekitaran perniagaan akan kekal mencabar dalam suku terakhir tahun ini tetapi kekal optimistik bagi pelan penstrukturan dan keupayaan syarikat bagi mencapai pertumbuhan mapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN