KUALA LUMPUR: AirAsia Group Berhad (AirAsia) mencatat kerugian bersih sebanyak RM851.78 juta untuk suku ketiga tahun ini, berbanding kerugian RM51.44 juta suku sama tahun lalu.
Ini menjadikan kerugian terkumpulnya untuk tahun kewangan sehingga 30 September 2020 mencecah RM2.66 bilion berbanding keuntungan RM80.72 untuk tempoh sama tahun lalu.
Walau bagaimanapun, prestasi syarikat itu suku ke suku meningkat 272 peratus disokong lonjakan lima kali ganda hasil daripada sayap penerbangannya yang menerima peningkatan kapasiti secara beransur-ansur.
Ia berikutan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19 yang semakin longgar di seluruh dunia.
Namun, secara tahun ke tahun, hasil sayap penerbangannya turun 87 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat telah mengambil langkah pengurusan perbelanjaan melalui strategi pemotongan kos dan mengetatkan pengurusan aliran tunai sehingga berjaya mengurangkan kos tetap sehingga 50 peratus pada suku ketiga 2020.
“Kami juga dalam tahap yang berbeza dalam inisiatif penaiktarafan digital dalam pengoperasian, memberi lebih penjimatan dalam jumlah pekerja, bahan api, penyelenggaraan dan caj pengguna.
“Kami mengumumkan pengakhiran operasi AirAsia Jepun awal Oktober lalu. Walaupun keputusan yang sukar, ia perlu untuk mengurangkan kerugian kumpulan disebabkan pasaran operasi pascapandemik yang sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tony juga optimis terhadap masa hadapan AirAsia dengan kemajuan dalam penemuan vaksin Covid-19 memberikan harapan kepada industri penerbangan.
“Kami menjangkakan lebih kecairan pada 2021 dengan ramalan trajektori menaik untuk permintaan perjalanan udara ketika beberapa gelembung perjalanan dan laluan hijau dibentuk,” katanya. – UTUSAN