KUALA LUMPUR: Glomac Berhad (Glomac) bekerjasama dengan Maybank Islamic untuk memberikan lebih banyak faedah kepada pembeli rumah dalam memperoleh kediaman yang mereka inginkan, melalui penyelesaian pembiayaan rumah HouzKEY.
Menerusi kenyataan bersama Glomac dan Maybank Islamic memberitahu, pembeli rumah akan menikmati pembiayaan 100 peratus tanpa memerlukan wang pendahuluan dan hanya deposit sebanyak tiga bulan diperlukan, yang akan dikembalikan.
Selain itu, tiada pembayaran semasa tempoh pembinaan dan Maybank Islamic akan membantu membiayai kos semasa pembinaan kediaman serta pembeli rumah berpeluang menikmati bayaran bulanan terendah dengan kadar terbaik, jelas kenyataan itu.
Antara projek yang termasuk dalam program HouzKEY itu adalah projek terkini Glomac di Petaling Jaya, Selangor dan Johor, iaitu Pangsapuri 121 Residences, Plaza@Kelana Jaya dan perumahan di Saujana Jaya, Kulai.
Projek lain, 121 Residences terletak di tengah-tengah Petaling Jaya, hanya 400 meter dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) 3 Kayu Ara yang sedang dalam pembinaan dan pelbagai kemudahan disediakan termasuk pusat beli-belah, pusat pengajian dan sekolah serta kedai makan.
Lokasi itu juga mudah dihubungkan melalui lebuhraya-lebuhraya seperti Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Persekutuan.
Plaza@Kelana Jaya pula terletak secara strategik di sepanjang LDP dan harga jualan bermula dari RM383,000 yang menjadikannya satu-satunya hartanah pegangan bebas dengan harga paling berpatutan yang terdapat di lokasi prima ini.
Sementara itu, Saujana Jaya Kulai, terletak di kawasan yang dimajukan Glomac seluas 174 ekar yang terdiri daripada perumahan yang mudah diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan hanya 20 minit perjalanan kereta ke Johor Bahru.
Ketua Pegawai Operasi Glomac, Zulkifly Garib berkata, HouzKEY dilihat sebagai peluang menarik pihaknya untuk menyampaikan kepada prospek mengenai satu lagi kaedah penyelesaian pemilikan hartanah yang dapat memenuhi kehendak populasi lebih besar.
“Terutama kepada pemilik rumah pertama, kami yakin kolaborasi bersama Maybank Islamic ini dapat membantu menjadikan pengalaman pertama memiliki rumah mereka lebih bermakna,” katanya.
Katanya, Glomac yakin program tersebut akan menjadikan pengalaman pemilikan rumah yang menarik bagi para pelanggannya. Pelanggan yang berminat boleh melayari laman web www.glomac.com.my untuk maklumat lanjut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Real Estate Ventures Maybank, Sally Lye berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Glomac untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan rumah mereka, HouzKEY kepada bakal pembeli rumah.
“Kami tetap komited dalam misi untuk memberi perkhidmatan kewangan yang lebih mesra pengguna pada waktu mencabar ini. Melalui HouzKEY, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia kini dapat memiliki rumah impian mereka,” katanya.
Melalui HouzKEY Glomac bersama Maybank Islamik berkenaan, pembeli rumah kini memperoleh fleksibiliti dan kecekapan aliran tunai yang jauh lebih besar untuk memiliki rumah. – UTUSAN